Pasukan pengurusan jenazah Covid-19 lengkap mengenakan sut perlindungan diri (PPE) membawa jenazah pesakit Covid-19 untuk urusan pengebumian ketika tinjauan di Hospital Nucleus Labuan pada 7 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Empat korban baharu babit individu 20-an

SHAH ALAM, 27 JUN: Empat daripada 60 kes kematian baharu yang direkodkan akibat Covid-19 di seluruh negara membabitkan individu berusia 20-an.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata kesemua mangsa terbabit yang menghidap obesiti merupakan rakyat tempatan.

Perincian kematian berkenaan adalah seperti berikut:
1. Lelaki 20 tahun – Jenazah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang
2. Lelaki 28 tahun – Meninggal di Hospital Tengku Ampuan Najihah, Kuala Pilah
3. Lelaki 26 tahun – Meninggal di Hospital Sungai Buloh
4. Perempuan 27 tahun – Meninggal di Hospital Sungai Buloh

Menurut kenyataan itu, individu berusia 40 tahun ke atas yang ada penyakit tertentu antaranya darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang kekal menyumbang kes kematian tertinggi.

Keseluruhannya, sebanyak 20 kes maut berlaku di Selangor, Kuala Lumpur (16), Kelantan (enam), Johor (lima) dan Negeri Sembilan (empat).

Sarawak pula melaporkan tiga kes, Melaka dan Pahang (dua) manakala masing-masing satu kes di Kedah serta Labuan.

Sejak pandemik menular, sebanyak 4,944 angka korban direkodkan di seluruh negara.

 


Pengarang :