Pegawai Kesihatan Daerah Klang, Dr Masitah Mohamed (kiri) menampal notis penutupan kilang Top Glove Jalan Teratai, Klang pada 25 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PENDAPATRENCANA

Covid-19: Malaysia masih dibebani kluster tempat kerja

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah Rangkuman Mingguan mengenai Covid-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 19 Jun hingga pukul 12.30 tengah hari 25 Jun 2021.

Kes kumulatif Covid-19 di Malaysia melepasi 716 ribu. Di peringkat global, lebih 180 juta kes dilaporkan dengan kes kematian melebihi 3.9 juta. Lebih 165 juta pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh. Pandemik Covid-19 sudah merebak ke 216 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Hampir sebulan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) dikuatkuasakan, kes harian baharu masih belum dapat diturunkan bawah 4 ribu untuk membolehkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) beralih ke fasa dua.

Semalam (Khamis 24 Jun 2021) , sebanyak 5,841 kes harian baharu lagi dilaporkan sementara kes kumulatif Covid-19 negara yang melepas paras 700 ribu pada 21 Jun 2021, meningkat kepada 716,847 kes. Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 naik sedikit kepada 61,162 kes berbanding 60,816 kes pada 23 Jun 2021.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba baru-baru ini dipetik berkata “purata kes Covid-19 di Malaysia perlu berada di bawah 4 ribu kes sehari selama tujuh hari berturut-turut bagi membolehkan negara beralih ke fasa dua mengikut Pelan Pemulihan Negara (PPN).”

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan PPN yang terbahagi kepada empat fasa pada 16 Jun lepas berharap ia dapat mengembalikan kehidupan harian biasa.

SPP pula yang dikuatkuasakan bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021, disambung dua minggu lagi sehingga 28 Jun 2021.

Sementara itu, kluster baharu terutamanya kluster tempat kerja melibatkan kilang dan tapak binaan yang masih dikesan dan mencetuskan kes baharu dibimbangi boleh menggugat usaha mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Setakat 24 Jun 2021, negara dibebani sebanyak 867 kluster yang masih aktif. Secara keseluruhannya sebanyak 2,720 kluster direkod dan 1,853 daripadanya, dilaporkan tamat.

Rangkuman Mingguan Bernama 19 Jun hingga 24 Jun 2021 (Rangkuman Mingguan) berdasarkan data KKM merekod sebanyak 140 kluster baharu dan daripada jumlah itu, sebanyak 85 kluster atau 60.7 peratus adalah kluster tempat kerja.

Pekerja syarikat sarung tangan Top Glove menjalani saringan Covid-19 di asrama pekerja wanita di Meru pada 18 November 2020. Foto: BERNAMA

Semalam sahaja (24 Jun), sebanyak 30 kluster baharu dilaporkan dan 20 daripadanya adalah kluster tempat kerja!

Antara kluster tempat kerja yang dikesan semalam dengan kes Covid-19 yang tinggi adalah kluster Industri Jalan Seruling 57 (daerah Klang, Selangor). Kluster ini hasil saringan bersasar di sebuah kilang dan 101 kes positif daripada 319 individu yang disaring.

Pada 20 Jun, KKM melaporkan kluster tempat kerja, Tapak Bina Persiaran Hamidiah (daerah Hulu Langat, Selangor), melibatkan pekerja sebuah tapak binaan di Persiaran Hamidiah. Kajang, Hulu Langat. Sebanyak 244 kes dikesan positif daripada 332 individu yang disaring.

Pada 19 Jun, antara kluster tempat kerja yang mencatat kes positif tinggi ketika diumumkan KKM adalah Kluster Tapak Bina Perdagangan Dana (daerah Petaling, Selangor), melibatkan pekerja sebuah tapak pembinaan di Pusat Perdagangan Dana 1, Petaling Jaya. Seramai 324 kes dikesan positif Covid-19 setakat 19 Jun 2021, daripada 482 individu yang disaring.

Sepanjang Rangkuman Mingguan ini juga, hanya dua hari Malaysia merekod kes bawah 5 ribu iaitu pada Isnin 21 Jun (4,611 kes) dan Selasa 22 Jun (4,743 kes). Kali terakhir Malaysa mencatat angka kes harian dalam lingkungan empat ribu adalah pada 18 Mei 2021 sebanyak 4,865 kes.

Paling tinggi kes harian baharu dilaporkan di Malaysia adalah pada 29 Mei 2021 iaitu sebanyak 9,020 kes, iaitu sejak kes pertama dikesan di negara ini pada 25 Januari 2020.

Jumlah kes Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 869 kes dan 438 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dengan 716,847 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 36 (rangkuman mingguan lepas tangga 38) dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Jordan (748,685 kes) dan Jepun (789,440 kes).

Perkembangan lain dalam negara

Berdasarkan perincian KKM untuk 5,841 kes harian baharu Covid-19 yang dilaporkan KKM pada Khamis 24 Jun 2021, Selangor terus menyumbang kes terbanyak iaitu 2,072 kes.

Berikutan peningkatan kes di Selangor terutamanya pesakit kategori tiga dan ke atas, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memutuskan untuk menukar status Hospital Ampang daripada Hybrid Covid-19 kepada hospital rawatan pesakit Covid-19 sepenuhnya (Hospital Full Covid-19) berkuat kuasa semalam (23 Jun).

Di samping Hospital Ampang, sebuah lagi hospital yang beroperasi sebagai Hospital Full Covid-19 di Selangor ialah Hospital Sungai Buloh.

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan ini, kes harian baharu Covid-19 di Selangor adalah seperti berikut:-

19 Jun (2,111 kes), 20 Jun (1,680 kes), 21 Jun (1,346 kes), 22 Jun (1,566 kes), 23 Jun ( 2,001 kes) dan 24 Jun (2,072 kes).

Negeri yang mencatat k​​​​es harian baharu tiga angka – Negeri Sembilan 781, Sarawak 581 kes, WP Kuala Lumpur 552, Johor 346, Kedah 271, Melaka 247, WP Labuan 212, Sabah 203, Pahang 162, Kelantan 135, Perak 120 dan Pulau Pinang 108.

Kes harian baharu dua angka – Terengganu 29 dan Putrajaya 17.

Kes harian baharu satu angka – Perlis.

Untuk kes kematian pada Khamis 24 Jun 2021, sebanyak 84 lagi kes kematian dilaporkan, menjadikan kes kumulatif kematian sebanyak 4,721 kes (0.66 peratus).

Selangor masih mencatat kes kematian tertinggi sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan ini, seperti berikut:-

Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 9 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

19 Jun (23 kes), 20 Jun (20 kes), 21 Jun (24 kes), 22 Jun (32 kes), 23 Jun (35 kes) dan 24 Jun (32 kes).

Mengenai perkembangan terkini penularan varian baharu virus SARS-CoV-2, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan, antara 20 Jun 2021 dan 22 Jun 2021, sebanyak enam (6) kes dikesan dan kesemuanya adalah VOC (varian membimbangkan), iaitu Lima (5) kes varian Beta (B.1.351) dan satu (1) kes varian Delta (B.1.617.2).

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI (varian perlu diwaspadai) adalah sebanyak 189 kes. Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 173 kes adalah VOC manakala 16 kes adalah VOI.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam catatan di Facebook peribadinya pada 24 Jun 2021 mengumumkan, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 24 Jun 2021 untuk seluruh negara kekal 0.98. Untuk rekod, Ro di bawah 1.0 ini secara konsistennya dicatat sejak 6 Jun 2021.

Negeri yang mencatat Ro/Rt tertinggi adalah Negeri Sembilan 1.08, Selangor 0.99 dan Sarawak 0.99.

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Senario wabak Covid-19 di Malaysia (19 Jun-24 Jun)

Rekod kes sembuh:-

19 Jun (6,918 kes), 20 Jun ( 5,941 kes), 21 Jun (5,439 kes), 22 Jun (5,557 kes), 23 Jun (6,372 kes) dan 24 Jun (5,411 kes).

Rekod kes baharu, penularan tempatan dan yang berkaitan:-

19 Jun – Kes baharu : 5,911 kes (691,115 kes kumulatif);Kes tempatan : 5,910 kes [4,444 warganegara (75.2%); 1,466 bukan warganegara (24.8%)]; Kes import : 1 kes (1 warganegara);

20 Jun – Kes baharu : 5,293 kes (696,408 kes kumulatif);Kes tempatan : 5,286 kes [3,894 warganegara (73.7%); 1,392 bukan warganegara (26.3%)]; Kes import : 7 kes (3 warganegara, 4 bukan warganegara);

21 Jun – Kes baharu : 4,611 kes (701,019 kes kumulatif);Kes tempatan : 4,603 kes [3,683 warganegara (80.0%); 920 bukan warganegara (20.0%)]; Kes import : 8 kes (4 warganegara, 4 bukan warganegara);

22 Jun – Kes baharu : 4,743 kes (705,762 kes kumulatif); Kes tempatan : 4,741 kes [3,843 warganegara (81.1%); 898 bukan warganegara (18.9%)]; Kes import : 2 kes (1 warganegara, 1 bukan warganegara);

23 Jun – Kes baharu : 5,244 kes (711,006 kes kumulatif); Kes tempatan : 5,237 kes [4,291 warganegara (81.9%); 946 bukan warganegara (18.1%)]; Kes import : 7 kes (4 warganegara, 3 bukan warganegara);

24 Jun – Kes baharu : 5,841 kes (716,847 kes kumulatif); Kes tempatan : 5,833 kes [4,683 warganegara (80.3%); 1,150 bukan warganegara (19.7%)]; Kes import : 8 kes (1 warganegara, 7 bukan warganegara);

Rekod kes kematian:-

19 Jun – 72 kes (64WN, 8 BWN), BID 11; 20 Jun – 60 kes (56 WN, 4 BWN), BID 7; 21 Jun – 69 kes (66 WN, 3 BWN), BID 5; 22 Jun – 77 kes (70 WN, 7 BWN), BID 11; 23 Jun – 83 kes (77 WN, 6 BWN), BID 7; 24 Jun – 84 kes (73WN, 11BWN).

*WN = warganegara *BWN = bukan warganegara

*BID = kes kematian di luar fasiliti kesihatan (iaitu hospital) dan dibawa ke Jabatan Forensik hospital; disahkan positif Covid-19 selepas ujian makmal PT PCr dijalankan.

Untuk rekod kes kematian semalam (24 Jun 2021), Dr Noor Hisham melaporkan pesakit paling muda yang menjadi korban Covid-19 ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, dengan latar belakang penyakit asma dan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.

Rekod kluster baharu dan kluster yang berkaitan:-

19 Jun – 24 kluster baharu (12 kluster tempat kerja, 7 kluster komuniti, 4 kluster pusat tahanan dan 1 kluster kumpulan berisiko tinggi);

20 Jun – 19 kluster baharu ( 11 kluster tempat kerja, 5 kluster komuniti, 2 kumpulan berisiko tinggi dan 1 kluster pusat tahanan);

21 Jun – 22 kluster baharu (14 kluster tempat kerja, 7 kluster komuniti dan 1 kluster kumpulan berisiko tinggi);

22 Jun – 21 kluster baharu (13 kluster tempat kerja, 5 kluster komuniti, 1 kluster pendidikan, 1 kluster pusat tahanan, 1 kluster kumpulan berisiko tinggi);

23 Jun – 24 kluster baharu (15 kluster tempat kerja , 7 kluster komuniti, 1 kumpulan berisiko tinggi, 1 kluster pusat tahanan);

24 Jun – 30 kluster baharu (20 kluster tempat kerja, 9 kluster komuniti dan 1 kluster kumpulan berisiko tinggi).

Seorang wanita memakai pelitup muka di sebalik kebimbangan terhadap penularan Covid-19 di Thailand pada 4 Mac 2020. Foto AFP

Statistik global Covid-19

Jumlah kes Covid-19 global terkini (worldometer) adalah 180,765,742 kes (rangkuman minggu lalu 178,276,440 kes) dengan 3,915,962 kematian (minggu lalu 3,859,589 kematian). Jumlah pesakit sembuh seramai 165,412,926 orang (minggu lalu 162,779,900 orang).

Sebanyak 216 negara dilanda pandemik COVID-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Perancis, Turki, Rusia, United Kingdom, Argentina, Itali dan Colombia.

Pecahan kes Covid-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 34,464,956 kes (618,685 kematian);
India 30,133,417 kes (393,338 kematian);
Brazil 18,243,483 kes (509,282 kematian);
Perancis 5,764,329 kes (110,906 kematian);
Turki 5,393,248 kes (49,417 kematian)
Rusia 5,388,695 kes (131,463 kematian);
United Kingdom 4,684,572 kes (128,048 kematian);
Argentina 4,350,564 kes (91,438 kematian);
Itali 4,255,700 kes (127,362 kematian);
Colombia 4,060,013 kes (102,636 kematian).

Negara China, di mana bermulanya wabak Covid-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat 100 dengan 91,693 kes. Angka kematian kekal 4,636.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia, Filipina dan Myanmar turut menyertai senarai 97 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes Covid-19.

Indonesia di tangga 17 – 2,053,995 kes (55,949 kematian);
Filipina di tangga 24 – 1,378,260 kes (24,036 kematian);
Thailand di tangga 76 – 236,291 kes (1,819 kematian);
Myanmar di tangga 86 – 150,714 kes (3,275 kematian);
Singapura di tangga 110 – 62,493 kes (35 kematian);
Kampuchea di tangga 113 – 45,366 kes (493 kematian);
Vietnam di tangga 144 – 14,323 kes (72 kes kematian);
Laos di tangga 190 – 2,080 kes (3 kes kematian);
Brunei di tangga 204 – 256 kes (3 kes kematian).


Pengarang :