Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu bercakap kepada media ketika program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Sukan Klang, Klang pada 1 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Mohd Sabu gesa Putrajaya percepat beri vaksin kepada rakyat

KLANG, 2 JUN: Kerajaan pusat digesa mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada rakyat bagi memastikan lebih ramai diimun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Ahli parlimen Kota Raja berkata penyelesaian segera perlu kerana beberapa negara yang sebelum ini mempunyai bilangan kes tinggi menunjukkan penurunan selepas rakyatnya menerima vaksin.

“Setakat ini baru lima peratus yang menerima vaksin, rakyat tidak ramai tetapi terlalu lambat. Saya harap pihak berkuasa kurangkan birokrasi dan cari jalan mengatasinya,” kata Mohamad Sabu.

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan program Saringan Komuniti di Dewan Sukan Klang di sini semalam bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Mohamad Sabu juga meminta rakyat tidak menolak vaksin selepas terdapat laporan di beberapa negeri sebahagian peserta tidak hadir menerima suntikan selepas dipanggil Kementerian Kesihatan.

“Ini adalah salah satu ikhthiar, saya menyeru kepada semua termasuk kepada mereka yang memberi ‘fatwa’ mengarut untuk menerima vaskin. Rujuklah fatwa dari ulama,” katanya.

Beliau turut meminta kerajaan pusat mencontohi Selangor dengan membuat saringan secara percuma kerana menerusi kaedah itu ia dapat mengesan lebih awal golongan berisiko dari menjadi penyebar.


Pengarang :