Selangorkini
Pegawai perkhidmatan awam persekutuan boleh bekerja dari rumah (BDR) jika mendapat arahan daripada kerajaan atau diarahkan ketua jabatan. Foto: BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Perunding: Jejas masa peribadi antara sisi negatif kerja dari rumah

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Seorang perunding sumber manusia serantau mendedahkan sisi negatif daripada bekerja dari rumah (BDR) mula kelihatan dengan rasa tidak puas hati yang semakin meningkat, penyalahgunaan maya dan keseimbangan kerja-kehidupan yang mula terjejas.

Antara aduan yang diterima termasuklah terpaksa mengorbankan masa peribadi, majikan yang mendesak, kurangnya keseimbangan kerja-kehidupan, menyelesaikan konflik majikan-pekerja pada mesyuarat kumpulan dan keengganan pekerja untuk menyuarakan kebimbangan akan kehilangan pekerjaan mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GKK Consultants Sdn Bhd, Gajendra Balasingham.

“Ramai pekerja yang memilih untuk bersabar dengan sikap majikan yang mendesak dan tidak sensitif dan ketika negara masih lagi meneruskan sekatan pergerakan penuh bagi membendung pandemik Covid-19, ramai orang yang mula mempersoalkan sejauh mana produktifnya BDR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau, bagaimanapun menasihatkan pekerja agar bersabar dengan situasi sekarang sehingga keadaan kembali normal dan mereka dapat membuat pilihan yang lebih baik.

Namun, katanya, tidak dinafikan banyak sisi positif yang diperoleh kedua-dua majikan dan pekerja daripada norma baharu kerja ini, terutamanya dari segi penjimatan bagi kedua-dua pihak, yang mana majikan boleh menjimatkan sewa pejabat, bil utliti dan perbelanjaan perjalanan dan keraian manakala pekerja boleh berjimat kos pengangkutan, masa yang dihabiskan dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja dan bagi sebahagian malahan berjimat perbelanjaan penjagaan anak kerana mereka berada di rumah sepanjang masa.

Gajen, yang menawarkan khidmat perundingannya di sembilan negara Asia dan telah menganjur serta menghadiri beratus-ratus mesyuarat maya, menggariskan beberapa petua berguna bagi majikan dan pekerja termasuk menyarankan mesyuarat maya dihadkan dalam tempoh masa yang kondusif, sebaiknya tidak melebihi daripada 30 minit.

Beliau berkata kedua-dua pihak harus mempunyai pengurusan masa yang teratur, majikan perlu menghormati ruang privasi antara satu sama lain dan menentukan batas-batas antara masa kerja dan elak daripada mengganggu kehidupan peribadi pekerja, manakala pekerja pula perlu berdisiplin mematuhi masa kerja dan bekerja bersungguh-sungguh menyelesaikan tugasan mereka.

Dalam situasi konflik pula, beliau menasihatkan sebarang masalah dibawa berbincang dan diselesaikan antara majikan danpekerja dan bukannya semasa mesyuarat kumpulan.

“Nasihat kami kepada pekerja untuk mendepani masa depan dengan penuh keyakinan, adalah terus meningkatkan dan menambah baik kemahiran dalam pelbagai bidang teknologi maklumat dan bergerak seiring dengan keperluan perubahan dunia,” kata Gajen.

-BERNAMA


Pengarang :