Selangorkini
Bekas atlet bola keranjang negara merangkap mantan pengerusi Jawatankuasa Jurulatih Persatuan Bola Keranjang Malaysia Wee Cheong Phor menunjukkan Kad Peringatan Vaksinasi selepas menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Balai Islam, Lundang pada Jumaat lalu ketika ditemui Bernama di Kampung Cina pada 13 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Diusung bomba ke pusat vaksin, bekas atlet bersemangat terima suntikan

KOTA BHARU, 13 JUN: Bekas atlet bola keranjang kebangsaan, Wee Cheong Phor tetap bersemangat untuk menerima suntikan vaksin Covid-19, walaupun terpaksa diusung anggota bomba ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kerana keuzurannya.

Walaupun dalam keadaan terlantar, Wee, 79, tetap berusaha untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di PPV Kompleks Balai Islam, Lundang pada Jumaat lepas (11 Jun), bagi memastikan dirinya terhindar daripada jangkitan virus maut itu.

Masalah kesihatan yang dialami Wee, sejak enam tahun lalu menyebabkan beliau hanya terlantar dan memerlukan pengendalian secara khusus bagi membolehkannya bergerak ke tempat lain.

Justeru, beliau dibawa menggunakan pengusung beroda oleh tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu menaiki ambulans milik jabatan tersebut untuk mendapatkan suntikan vaksin tersebut.

Katanya, pada peringkat awal beliau terpaksa menolak janji temu pertama untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Mei lalu kerana beranggapan agak mustahil untuk dirinya yang berkeadaan sedemikian ke PPV yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari rumahnya di Kampung Cina di sini.

“Walaupun terpaksa menolak janji temu pertama, saya tidak berputus asa. Saya cuba menghubungi Pengerusi Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan Datuk Oie Poh Choon yang juga sahabat saya untuk membantu mencari jalan bagi membawa saya ke PPV.

“Saya sangat terharu usaha yang dilakukan Oie mendapatkan bantuan pasukan bomba, akhirnya saya dapat dibawa ke PPV untuk menerima vaksin pada 11 Jun,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya, hari ini.

Wee yang juga bekas pengerusi Jawatankuasa Jurulatih Persatuan Bola Keranjang Malaysia berkata anak sulungnya Wee Hoa Khee, 52, membantu beliau mendaftar di aplikasi MySejahtera untuk menerima vaksin itu.

Pada masa sama, beliau turut memuji proses pemberian vaksin di PPV yang diuruskan Kota Bharu Medical Centre (KBMC) kerana segala-galanya berjalan sangat lancar selain beliau turut diberikan laluan laju bagi menerima suntikan vaksin.

”Jadi, saya ingin menyeru orang ramai terutamanya golongan seperti saya agar segera menerima suntikan memandangkan ia tanggungjawab kita bagi melindungi diri, keluarga serta seluruh masyarakat daripada jangkitan wabak ini,” katanya yang akan menerima suntikan dos kedua pada 2 Julai depan.

Sementara itu, Oie berkata sehingga kini pihaknya sudah membantu hampir 20 orang di seluruh Kelantan yang tidak mengetahui cara untuk mendaftar di aplikasi MySejahtera selain turut menghadapi kekangan tidak memiliki alat peranti sendiri.

“Mereka terdiri daripada golongan warga emas, tinggal seorang diri dan tidak mempunyai kemudahan telefon bimbit. Kami membantu mereka untuk mendaftar sebagai penerima vaksin dan sekiranya mereka menghadapi kekangan untuk ke PPV, kami akan cuba sebaik mungkin membantu mereka,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :