Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Pertama, Sabak Bernam pada 2 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKIN
SELANGOR

PKPD Sabak Bernam: 70 petugas kesihatan dibenar kerja seperti biasa

SABAK BERNAM, 2 JUN: Seramai 70 petugas kesihatan dari tiga taman perumahan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKDP) di sini dibenarkan bekerja seperti biasa.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata khidmat mereka adalah satu keperluan dan sekiranya tidak dibenarkan bekerja ia boleh mengganggu operasi hospital dan klinik kesihatan di sekitar Sabak Bernam.

“Mereka ini telah dilindungi vaksin dan sudah pasti jika mempunyai kontak rapat mereka tidak dibenarkan bekerja, namun setakat ini kesemua mereka tiada kontak rapat.

“Mereka sebenarnnya terdedah (Covid-19) bukan sahaja di sini malah lagi terdedah bila berada di hospital. Mereka ada ‘shift’ mungkin dalam satu-satu masa 20 atau 30 orang akan keluar bekerja. Bukan semua ke hospital, ada yang ditugaskan di pusat saringan di sini,” katanya di sini hari ini.

Amirudin berkata pihaknya juga menyediakan bas untuk membawa petugas kesihatan terus ke hospital atau klinik kesihatan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di sini hari ini.

Pada lawatan itu beliau turut mengagihkan 750 bakul makanan dan 1,000 barangan basah yang disediakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) kepada penduduk.

Seramai 3,900 penduduk Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima daerah itu dikenakan PKPD selama dua minggu bermula 30 Mei.

Pegawai Daerah Sabak Bernam Amri Ismail berkata PKPD melibatkan 876 rumah dihuni kakitangan hospital, pejabat tanah dan institusi pendidikan.


Pengarang :