Peniaga menyiapkan tempahan makanan melalui PLATS dan Grab di e-dapur Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PLATS 2.0 bantu peniaga cari rezeki ketika PKP

SHAH ALAM, 3 JUN: Platform Selangor (PLATS) 2.0 diteruskan bagi memberi peluang kepada penjaja dan peruncit menjual bahan makanan serta minuman.

Dianjur Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, platform maya itu dapat menggerakkan ekonomi negeri sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif itu dibuat dengan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad dan Yayasan Hijrah Selangor, kedua-duanya anak syarikat Kerajaan Negeri, selain Grab Express.

Menerusi PLATS 2.0, penjaja dan peruncit juga boleh mempelajari asas berkaitan pendigitalan, menerima bantuan pembiayaan serta latihan keusahawanan.

Untuk penyertaan, mereka boleh mendaftar melalui laman sesawang www.platselangor.com dengan melengkapkan butiran perniagaan.

Seterusnya, peniaga dan peruncit diminta memuat naik foto kedai dan menu jualan sebelum pendaftaran PLATS 2.0 diproses.

Antara gerai di Bazar Ramadan Bandar Kinrara yang mendaftar perniagaan melalui saluran e-dagang, Platform Selangor (PLATS) ketika tinjauan pada 19 April 2021. /Foto MUSTAKIM RAMLI SELANGORKINI

Orang ramai yang mahu membuat tempahan hanya perlu mengakses laman sesawang itu, memilih kedai seterusnya memesan juadah dan membuat bayaran melalui kaedah e-dompet atau terus ke akaun bank.

Juadah kemudian boleh diambil sendiri atau menggunakan perkhidmatan penghantaran Grab Express.

Pada bulan lalu, Ketua Pegawai Operasi MBI Soffan Affendi Aminudin berkata PLATS adalah usaha mengubah nasib 75 peratus daripada 22,000 penjaja melalui saluran e-dagang supaya mereka boleh memiliki kedai sendiri.

Katanya, mereka terbahagi kepada dua kategori iaitu berpendapatan bawah RM100 sehari dan lebih RM100 sehari manakala kategori tiga pula memiliki satu premis kedai serta keempat memiliki rangkaian kedai.

“Kami menyasarkan golongan satu dan dua dapat mengubah perniagaan mereka menjadi golongan tiga serta empat. Kesan ekonomi menjadi luas jika kita latih mereka berada di dalam platform yang betul (PLATS).

“Mereka adalah golongan berpendapatan rendah (B40) dan mengubah mereka kepada pendapatan sederhana (M40) adalah kejayaan yang besar untuk negeri ini,” katanya.

PLATS 2.0 diperkenal bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor membabitkan usahawan melalui satu platform digital.

Pada 11 April, Dato’ Menteri Besar berkata program yang diperkenal pada Ramadan tahun lalu diteruskan lagi bagi membantu peniaga menjana pendapatan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program PLATS 2.0 tidak hanya berlangsung ketika Ramadan sebaliknya dijalankan sepanjang masa


Pengarang :