Yong Kai Ping berucap ketika pengumuman keputusan e-Bazar Raya Selangor dan pelancaran Sidec TV secara maya pada 23 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sidec TV bimbing peniaga teknik naikkan jualan e-dagang

SHAH ALAM, 23 JUN: Sidec TV diperkenal Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) bagi membantu usahawan menimba pelbagai pengetahuan dalam bidang e-dagang.

Pelbagai video termasuk teknik meningkatkan jualan dimuatkan secara percuma kepada peniaga yang tiada kelapangan menghadiri kelas fizikal untuk mereka belajar secara kendiri.

Melancarkan Sidec TV pada hari ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yakin medium berkenaan memberi manfaat kepada peniaga yang baru bermula atau mahu melonjakkan perniagaan.

“Video-video yang dikumpul adalah hasil rakaman daripada ratusan kelas e-dagang yang dianjurkan oleh Sidec sejak penubuhannya pada 2015.

“Sidec bekerjasama dengan Media Selangor untuk menghebah video-video yang bakal menjadi tatapan umum tidak lama lagi,” katanya menerusi sidang media secara maya.

Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Sdn Bhd Yong Kai Ping pula menyifatkan kelahiran Sidec TV dan kerjasama Media Selangor menunjukkan kejayaan proses pendigitalan perniagaan di Selangor.

“Semua video ini akan memberi manfaat kepada mereka yang ingin menimba ilmu e-dagang dan bagi mereka yang ingin menceburinya sekali gus meningkatkan jualan mereka,” katanya.


Pengarang :