Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 9 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Tenangkan peserta fobia antara cabaran petugas kesihatan kendali saringan

SABAK BERNAM, 10 JUN: Menenangkan peserta fobia dengan alat ujian calitan antara cabaran perlu ditempuh petugas kesihatan semasa mengendalikan Saringan Komuniti Covid-19.

Pembantu Klinik Selcare Muhammad Firdaus Mohd Fauzi mengakui berdepan situasi itu setiap kali mengambil sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) individu yang pertama kali merasai pengalaman terbabit.

“Keadaan sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak, namun ada juga golongan dewasa kerana mungkin terlalu takut dan tidak terbiasa sehingga menyukarkan proses saringan.

Muhammad Firdaus Mohd Fauzi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Biasanya, sebelum memasukkan alat tersebut ke dalam rongga hidung, saya akan beritahu peserta supaya tahan dan jangan banyak bergerak,” katanya ketika ditemui pada Saringan Komuniti Covid-19 di Stadium Sungai Besar di sini semalam.

Beliau yang mula menyertai pasukan itu sejak awal bulan lalu turut bersedia mental dan fizikal untuk menyumbang khidmat pada fasa kedua program ujian anjuran Kerajaan Selangor.

“Persediaan perlu dibuat memandangkan kami akan bergerak ke banyak tempat untuk membantu doktor,” kata graduan perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berusia 25 tahun itu.

Sementara itu, Nurin Fadhlin Mohamad Thuairi berkata meskipun mempunyai latar belakang dalam bidang perubatan, namun turun ke lapangan melakukan saringan terhadap penduduk setempat menjadi pengalaman baharu buatnya.

Nurin Fadhlin Mohamad Thuairi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh berusia 24 tahun memaklumkan dia bertugas secara sukarela memandangkan pengajian ditangguh sementara ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain diberi tunjuk ajar oleh doktor terlatih mengenai cara membuat ujian calitan, saya berpeluang melihat penerimaan masyarakat terhadap program ini termasuk jumlah kes positif Covid-19 di sesebuah lokaliti.

“Jika diperlukan, saya masih berminat menjadi sebahagian daripada pasukan ini pada fasa kedua program saringan nanti,” katanya.


Pengarang :