Mohamad Faizal Sarwani bercita-cita untuk memiliki kedai sendiri untuk mengembangkan lagi perniagaan ayam percik dan goleknya. Foto Mohd Faizal Sarwani
AGENDANASIONAL

Usahawan Hijrah mahu miliki kedai sendiri, kembang jualan ayam golek

SHAH ALAM, 23 JUN: Seorang usahawan Hijrah Selangor memasang impian memiliki kedai sendiri untuk mengembangkan perniagaan ayam percik dan golek yang diusahakan sejak empat tahun lalu.

Mohamad Faizal Sarwani, 35, yang berniaga di gerai tepi jalan di pekan Tanjong Karang mahu hasrat itu tercapai selewat-lewatnya tahun depan mengambil kira keuntungan diperoleh meningkat saban hari.

Gerai Ayam Golek Wak Sani milik Mohamad Faizal Sarwani yang terletak di tepi jalan di pekan Tanjong Karang. Foto Mohd Faizal Sarwani

Bapa kepada tiga anak berkata lokasi sedia ada yang berisiko dikenakan tindakan pihak berkuasa tempatan mendorongnya mencari tempat selesa dan selamat untuk meneruskan kelangsungan perniagaan.

“Sudah lama saya mengimpikan ada kedai sendiri, apatah lagi perniagaan semakin berkembang walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sejujurnya, penerimaan pelanggan agak memberangsangkan kerana mereka bukan sahaja beli di gerai sebaliknya membuat tempahan di aplikasi Food Panda.

“Dengan purata pendapatan mencecah RM1,200 setiap hari, Insya-Allah saya sedang bergerak ke arah itu secara perlahan-lahan dan berharap dapat memiliki kedai dalam tempoh setahun lagi,” katanya ketika dihubungi.

Bekas penyelia agensi pembekal pekerja tempatan berkata Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) banyak membantu dalam menggerakkan perniagaan tersebut dengan memberi pinjaman modal sebanyak tiga kali.

Deretan ayam golek usahawan Hijrah Selangor yang dibakar setiap hari. Foto Mohd Faizal Sarwani

Menurutnya, modal pertama berjumlah RM10,000 diperoleh dua tahun lepas manakala pinjaman kali kedua sebanyak RM20,000 tahun lalu sebelum memohon pembiayaan RM5,000 di bawah Skim Go Digital pada Mac.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memudahkan usahawan kecil yang sememangnya mengharapkan bantuan seperti ini untuk memulakan mahupun mengembangkan perniagaan.

“Malah, pengumuman moratorium automatik baru-baru ini nyata melegakan peminjam. Sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kerana sebahagian besar peniaga terjejas akibat Covid-19,” katanya yang konsisten membuat bayaran balik pinjaman sebanyak RM350 setiap minggu.

Mohamad Faizal antara 40,000 usahawan Hijrah yang diberi pengecualian bayaran pinjaman susulan pelaksanaan PKP penuh sejak 1 Jun.

Inisiatif dengan impak kewangan berjumlah RM11.35 juta turut memanfaatkan individu yang ingin memulakan perniagaan tetapi berdepan masalah modal dan pusingan.


Pengarang :