EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail beramah mesra dengan sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV) Hotel De’Palma Seksyen 19, Shah Alam pada 23 Julai 2021. Foto Pejabat YB Rodziah
AGENDANASIONAL

52,000 syarikat daftar Selvax, sejuta warga industri lengkap vaksin menjelang Okt

SHAH ALAM, 23 JULAI: Sebanyak 52,000 syarikat di negeri ini mendaftar bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Industri untuk memastikan pekerja mendapatkan suntikan pelalian Covid-19 setakat semalam.

EXCO Kerajaan Negeri merangkap Jawatankuasa Selvax Industri berkata seramai 89,653 pekerja dari syarikat terbabit sudah mendapat dos masing-masing di pusat pemberian vaksin (PPV) ditetapkan sejak 7 Julai lalu.

Melihat perkembangan itu, beliau berkata sasaran sejuta pekerja industri lengkap menerima dua dos suntikan menjelang Oktober ini mampu dicapai bergantung kepada bekalan.

“Sekiranya kita dapat bekalan penuh, suntikan boleh dibuat kepada 43,000 orang sehari di seluruh PPV negeri ini. Jika diikutkan proses ini tidak panjang malah agak cepat,” kata Rodziah Ismail.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau program Selvax Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di PPV Hotel De’ Palma Seksyen 19 di sini hari ini.

Rodziah yang juga wakil rakyat Batu Tiga berkata, mana-mana syarikat di Selangor yang masih belum mendaftar program tersebut masih boleh berbuat demikian dengan caj RM350 untuk setiap pekerja.

“Kita faham banyak syarikat yang ingin dapat cepat kerana mementingkan keselamatan pekerja dan tidak mahu jadi kluster di kawasan mereka, jadi mereka tidak kisah dengan kos yang diletakkan kerana amat berpatutan.

“Keutamaan diberi kepada syarikat dalam sektor perlu serta berisiko selain memiliki pekerja ramai termasuk perusahaan kecil dan sederhana yang menghasilkan barang keperluan,” katanya.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan serta mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Maklumat mengenai Selvax boleh didapati dengan melayari laman sesawang http://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600.

 


Pengarang :