Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop (kiri) bersama Ketua Divisyen Kutipan LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini (kanan) selepas menyerahkan sumbangan kepada keluarga lapan beradik yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 di Bukit Beruntung, Rawang pada 22 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ibu bapa korban Covid-19, pelajar wanita berazam pelihara tujuh adik

RAWANG, 23 JULAI: Anak sulung pasangan suami isteri yang meninggal akibat Covid-19 pada minggu lalu tidak akan menyerahkan tujuh adiknya kepada mana-mana pihak.

Nazurah Nabilah Benyajeed, 19, berkata dia sedaya upaya akan menjaga dan mendidik adiknya berusia empat hingga 18 tahun sehingga berjaya.

Nazurah Nabilah Benyajeed

“Kami akan tinggal di sini. Saya tak nak kami berpisah dan akan pastikan mereka mendapat pendidikan terbaik biarpun tanpa ibu dan ayah.

“Saya tidak pernah menangis depan adik-adik kerana takut mereka risau dan terkesan. Saya kena kuat dan tidak mahu mereka rasa kehilangan,” katanya yang menerima kunjungan wakil Lembaga Zakat Selangor serta Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Pelajar Fakulti Kejuruteraan Politeknik Mersing, Johor kehilangan bapa Benyajeed Bernie, 45, pada Jumaat lalu diikuti ibunya, Noraini Ibrahim, 43, dua hari kemudian.

Mengulas lanjut, Nazurah berkata dia sudah menjangka ibunya menjadi mangsa wabak memandangkan keadaan kritikal selain tempoh rawatan lama.

Bagaimanapun dia terkejut kerana bapanya meninggal terlebih dahulu walaupun dalam keadaan baik dan beransur pulih.

“Doktor maklumkan pagi Jumaat bantuan pernafasan ayah akan ditanggalkan tetapi petang disahkan meninggal dunia. Ibu pula masih kritikal sejak ditidurkan hujung bulan lalu dan meninggal dunia dua hari kemudian.

“Jangkitan dalam keluarga bermula dari ibu pada 16 Jun yang kerja di kilang di Rawang. Kemudian menjangkiti ayah, saya, makcik dan empat adik,” katanya.

Sementara itu Nazurah berkata sumbangan empat tablet diterima daripada MBI membolehkan adiknya mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Selama ini mereka tiada peranti. Saya akan pantau proses PdPR mereka kerana kemudahan sudah ada,” katanya.


Pengarang :