Aktiviti hebahan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4 Bandar Baru Bangi Daerah Hulu Langat oleh Jabatan Penerangan Negeri Selangor pada 1 Julai. Foto Facebook Jabatan Penerangan Negeri Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Klinik kesihatan mini sementara dibuka di Pangsapuri Sri Ayu

SHAH ALAM, 3 JULAI: Sebuah klinik kesihatan mini akan dibuka di Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sejak Rabu lepas.

Pegawai daerah yang juga pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana Hulu Langat berkata klinik sementara untuk kegunaan dan keperluan penduduk dijangka beroperasi dalam masa terdekat dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Klinik terbabit yang dibuka oleh pejabat kesihatan daerah Hulu Langat berfungsi untuk memberi ubat-ubatan biasa sekiranya ada penduduk yang sakit dan demam.

“Selepas waktu operasi ditetapkan, pasukan kerja lebih masa Klinik Kesihatan Bandar Baru Bangi akan melayani urusan kecemasan,” kata Najmuddin Jemain ketika dihubungi Selangorkini.

Menurut Najmuddin, majikan bertanggungjawab menyediakan bekalan makanan secukupnya dan keperluan asas lain penjagaan wanita untuk pekerja terbabit yang diselaras jawatankuasa pengurusan bencana daerah.

Katanya, majikan juga perlu memberi kerjasama terhadap permohonan data dan maklumat pekerja kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan untuk berbuat demikian.

Pangsapuri berkenaan dikenakan PKPD 14 hari bermula 30 Jun hingga 13 Julai susulan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokasi terbabit dengan 205 kes positif dikesan dalam tempoh sebulan.

Langkah itu bagi memastikan penduduk berisiko dijangkiti wabak kekal berada dalam kawasan dan tidak menjangkiti komuniti luar.

 


Pengarang :