Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan SISM40 membabitkan kerjasama MBI dan Telekom Malaysia (TM) selepas menyedari kesulitan dihadapi rakyat negeri ini dalam mendepani cabaran Covid-19. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

M40 disaran rebut peluang mohon subsidi internet Kerajaan Selangor

SHAH ALAM, 13 JULAI: Isi rumah kategori M40 di Selangor diminta mengambil peluang memohon Skim Internet Selangor Kategori M40 (SISM40) yang menawarkan rebat penjimatan sebanyak RM120 hingga RM360 setahun.

Pengurus SISM40 berkata setakat ini lebih 100 individu memohon subsidi internet Kerajaan Selangor itu yang dibuka dari 1 Julai sehingga 31 Disember 2021.

“Mereka yang mempunyai tangga gaji lingkungan lebih RM4,500 sehingga RM10,000 seperti doktor, peguam boleh memohon.

“Dalam situasi pandemik yang memerlukan individu itu bekerja dari rumah serta anak-anak mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) adalah digalak untuk memohon SISM40,” kata Muhammad Ismail ketika dihubungi.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui https://www.sism40.com.my/.

Pada 30 Jun Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI berkata golongan berkenaan boleh menikmati subsidi antara RM10 hingga RM30 sebulan selama setahun dengan melanggan satu daripada lapan pakej ditawarkan di bawah pakej keluarga, bujang dan asas.

Menerusi Pakej Kita Selangor 2.0, Dato’ Menteri Besar mengumumkan SISM40 membabitkan kerjasama MBI dan Telekom Malaysia Berhad (TM) selepas menyedari kesulitan  rakyat negeri ini mendepani Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengumumkan program Data Internet Selangor memanfaatkan 70,000 golongan sasar termasuk penjaja kecil, pelajar, ibu tunggal, pemandu teksi, warga emas dan pekerja ekonomi sampingan.


Pengarang :