BUDAYARENCANA

Semut berjalan satu-satu

Oleh Aliaa Alina

Ilustrasi MATAROJIT

SAFWAN terbaring merenung siling. Kipas siling berpusing perlahan, menunggu masa untuk berhenti pada hari yang panas itu kerana sudah lama dia tidak membayar bil elektrik. Kain putih tergantung di jendela. Mungkin manusia yang ternampak nanti akan bersimpati.

Tiga hari ini dia hanya menjamah biskut dan air kosong. Duit simpanan sudah lama susut. Adik-beradik lain yang sudah berkeluarga enggan diganggu, masing-masing punya masalah sendiri.

Perutnya berbunyi kerana terlalu lapar. Dia teringat kisah sewaktu sekolah rendah dahulu. Ketika bulan puasa, mereka semua duduk di dalam kelas pada waktu rehat. Di sebelah mejanya, ada seorang budak lelaki bernama Hambali. Bapanya dimasukkan ke penjara kerana terlibat dalam aktiviti penyeludupan barang di sempadan negeri.

Hambali mengadu kelaparan kerana sudah lama dia hanya menjamah nasi putih bergaram dan air kosong di rumah.

Ustazah Mahayah menasihati Hambali dan pelajar lain supaya bersabar. “Dahulu Bilal Bin Rabah diseksa dan kelaparan di tengah padang pasir terik membakar kulit. Imannya kuat dan teguh, dia kekal menyebut nama Tuhan yang Maha Esa. Kenapa kita yang duduk selesa di bilik darjah berkipas ini mahu merungut pula?” ujarnya panjang lebar memberi tazkirah.

Hambali terdiam. Dia memandang siling, kipas berputar laju. Memang benar kipas menyejukkan tubuh. Namun itu tidak bermakna ia mampu mengenyangkan perut yang lapar dan merawat tekak yang dahaga.

Perlahan-lahan mata Hambali turun memandangnya sambil berbisik, “Tetapi ustazah, kami bukan Bilal…”

***

Pintu rumah diketuk membuatkan Safwan terjaga dari tidur. Dia membuka mata dan merasakan keanehan pada dirinya. Keadaan sekeliling menjadi besar, dan semua barang di bilik bersaiz gergasi.

Safwan menjerit. Suaranya halus nyaring, lalu dia memegang tubuh yang berubah bentuk. Dia bergerak laju menuju ke cermin kecil. Di pantulan cermin, dia lihat dia sudah bertukar menjadi seekor semut.

Safwan berasa cemas, dirasakan dia masih terperangkap dalam mimpi aneh. Bunyi ketukan pintu bertalu-talu, lalu dia bergerak ke sana. Namun tombol pintu terlalu jauh untuk dicapai dan dia senang-senang boleh menyelinap keluar melalui bawah pintu.

Ada dua lelaki berdiri di depan rumah membawa barangan keperluan asas seperti beras, telur dan sardin.

“Mana orangnya?” soal seorang lelaki. Kawannya sekadar mengangkat bahu. Safwan memanggil mereka namun tidak dihiraukan, lalu dua lelaki itu berjalan pergi dari situ.

Dia termengah-mengah cuba mengejar namun mustahil dapat menandingi bukaan langkah dua gergasi itu.

“Cukuplah Safwan, mereka tidak dapat mendengar kamu,” tegur satu suara. Di sebelah, dia melihat seekor semut besar hitam bersama-sama tujuh ekor semut kecil. Mereka duduk dalam keadaan berbaris.

“Siapa kamu? Macam mana kamu tahu nama aku?” soalnya, ketakutan.

Kepala semut hitam itu bergerak-gerak, “Aku jiranmu, Kak Gayah. Dan ini adalah anak-anak aku.” 

Safwan terkedu lalu berkata, “Adakah saya sudah jadi gila? Adakah kelaparan telah meragut kewarasan saya?”

“Tidak,” jawab Kak Gayah dengan nada sayu. “Cuma terdetik di hatiku, alangkah bagusnya jika aku dan anak-anak menjadi semut. Kami penat berlapar dan berkurung dalam ruang yang begitu sempit. Apabila tersedar, tubuh kami jadi begini,” ceritanya kepada Safwan.

Segala yang kabur mulai jelas. Dia akui dia turut terdetik perkara yang sama ketika melihat beberapa ekor semut mengangkut serpihan biskut yang jatuh ke lantai bilik.

“Mari kita bergerak ke rumah orang kaya. Mereka pasti mempunyai banyak lebihan makanan di lantai dapur,” ajak Kak Gayah. Safwan berjalan menuruti, dan sepanjang perjalanan itu dia teringatkan tentang kisah masa lalu. 

Selepas tamat waktu rehat di bilik darjah, Ustazah Mahayah memulakan kelas dengan menceritakan kisah-kisah nabi kepada mereka.

“Dihantarkan seekor nyamuk untuk masuk ke dalam hidung Raja Namrud membuatkan dia merana selama 40 hari sebelum hari kematian. Bayangkan nyamuk sekecil itu mampu melawan seorang pemimpin yang zalim.”

***

Mereka semua bergerak sebaris seperti sedang berkawad. Mereka melalui sebuah hospital yang dipenuhi dengan manusia sakit dan sukar bernafas. Di celah-celah tubuh yang terbaring di lantai, ada beberapa ekor semut merah sedang berkumpul dan bercakap sesama sendiri.

Safwan memanggil kumpulan semut itu dan panggilan itu disahut. 

“Kami adalah petugas kesihatan yang terlalu kepenatan. Lalu kami tertidur sebentar dan sedar-sedar sahaja, kami semua sudah menjadi semut,” cerita salah seekor semut merah yang kegelisahan.

Safwan segera memujuknya supaya tidak berasa takut dengan nasib mereka.

“Ayuh ikut kami ke rumah pemimpin negara. Dia gagal melakukan tanggungjawab dengan baik. Jadi kita harus mengajarnya dengan cara masuk ke dalam telinga. Biar suara-suara tidak puas hati ini bergema dalam otak itu siang dan malam,” ajak Safwan.

Semut-semut merah bersetuju lalu membentuk barisan kawad baru dan mengikut jejak Safwan. 

Mereka melalui sebuah pos kawalan terbiar di jalan raya. Helaian uniform polis dan askar bergelimpangan di jalanan. Beberapa ekor kerengga berpinggang ramping sedang duduk di bawah khemah.

Safwan menegur mereka dan teguran itu dijawab.

“Kami semua sudah penat duduk berkawal di pos ini siang dan malam. Saya sudah lama tidak balik dan bertemu keluarga di kampung,” adu salah seekor kerengga itu. Tubuhnya sasa dan suaranya besar.

Lalu Safwan mengajak mereka turut serta ke rumah pemimpin untuk memprotes kezaliman. Pada mulanya mereka teragak-agak kerana takut ditangkap. Tetapi apabila difikirkan semula, mereka semua sudah menjadi kerengga. Tiada satu mahkamah di dunia dapat mendakwa mereka untuk jenayah itu.

Mereka berkawad dalam kumpulan menuju ke rumah pemimpin. Sepanjang perjalanan, mereka mengutip sisa makanan bertaburan. Untungnya mempunyai tubuh sekecil semut, hanya beberapa gigitan makanan sudah mampu mengenyangkan perut.

Rumah pemimpin itu senyap sunyi. Ahli keluarganya entah ke mana, mungkin sudah melarikan diri ke luar negara.

Dalam formasi tiga baris, semut-semut bergerak masuk ke dalam rumah agam. Tangga-tangga tinggi dinaiki dengan penuh hati-hati. Di lorong rumah, ada banyak lopak-lopak air di lantai. Mereka berjalan sebaris dan cuba mengelak titisan air. Jika ada semut tergelincir masuk ke dalamnya, mereka cepat-cepat berpegangan tangan lalu membentuk apungan semut di permukaannya.

Safwan tiba di pintu bilik tidur utama yang terbuka luas. Dia mengajak semua semut bergerak pantas masuk ke bilik untuk melakukan serangan hendap kepada pemimpin mereka.

Sebaik sahaja mereka tiba di atas katil, yang ada hanyalah sehelai baju kemeja putih berlengan panjang dan seluar korduroi hitam. 

Di atas bantal, mereka lihat seekor hama sedang tidur lena.


Pengarang :