Restoran Puteri cawangan Brickfields milik Rubiah Suparman dan Datuk Habsah Hassan yang beroperasi sejak 37 tahun lalu ditutup susulan kesan pandemik Covid-19. Foto Facebook Restoran Puteri
AGENDANASIONAL

Restoran milik Rubiah Suparman, Habsah Hassan ditutup selepas 37 tahun

SHAH ALAM: 12 OGOS: Selepas 37 tahun beroperasi, Restoran Puteri cawangan Brickfields milik pelakon veteran, Rubiah Suparman dan penulis lirik Datuk Habsah Hassan ditutup akibat kesan pandemik Covid-19.

Menerusi kenyataan, walaupun pernah menghadapi kegawatan ekonomi pada pertengahan 80-an dan 1997 namun sejak dua tahun lalu perniagaan restoran yang terkenal dengan masakan kampung itu kian merosot berikutan wabak serta kemuraman ekonomi negara.

“Ini bertambah sukar bila tuan kedai langsung tidak melayani rayuan menurunkan kadar sewa sebanyak RM15,000 sebulan. Keputusan sedih yang terpaksa dibuat oleh dua sahabat ini bagi mengelakkan hutang sewa terus tertunggak dari bulan ke bulan,” kata kenyataan itu.

Menerusi laporan BH, Rubiah yang popular melalui filem Bila Hati Telah Retak dan Di Ambang Kasih berhasrat menjual restoran berkenaan kepada mana-mana pihak berminat.

“Premis itu bagus kerana lokasinya sangat strategik. Namun, disebabkan pandemik dan pelanggan pun tidak boleh datang makan di kedai, terpaksalah kami menamatkan operasinya. Jika sesiapa yang berminat mengambil alih atau meneruskannya, bolehlah hubungi saya untuk perbincangan lanjut,” katanya.

Bagi Habsah pula, beliau terkilan dan sedih kerana gagal mempertahankan perniagaan yang diusahakan mereka sejak 1984 itu.

“Ini keputusan yang amat berat dan menyedihkan tetapi kami tiada pilihan lain. Pendek kata, berniaga hanya untuk bayar sewa kedai dan melunaskan gaji pekerja. Walaupun cuba bertahan namun akhirnya kami terpaksa mengaku kalah,” katanya.

Dengan penutupan cawangan di Brickfields, Restoran Puteri kini hanya mempunyai dua cawangan lain yang masih beroperasi iaitu di Taman Tun Dr Ismail dan Penchala, Petaling Jaya.


Pengarang :