Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex pada 23 Ogos 2021. Foto NAZIR KHAIRI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan tegur peringkat awal vaksin tidak fokus negeri ramai penduduk

SHAH ALAM, 23 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menegur langkah awal suntikan vaksin negara yang tidak menumpukan negeri ramai penduduk.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah keutamaan suntikan pada awalnya juga tidak dilakukan di Lembah Klang sedangkan sektor industri pesat membangun khususnya di Selangor.

“Akibat dari itu, wabak Covid-19 ini telah merebak dengan cepat di kawasan-kawasan yang mempunyai penduduk yang ramai serta lahirnya kluster-kluster kilang yang merebak tanpa kawalan.

“Namun apakan daya, nasi sudah menjadi bubur, nyawa rakyat beta yang telah mati akibat wabak Covid-19 tidak dapat dikembalikan,” titah Baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex di sini hari ini.

Sultan Selangor bertitah semua pihak perlu positif melangkah ke hadapan selain berharap tidak mengulangi semula kesilapan dan kelalaian yang berlaku.

“Justeru, beta menyeru semua rakyat untuk mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan bagi membantu kerajaan menangani Covid-19.

“Beta berharap rakyat beta memberi kerjasama sepenuhnya untuk mendapatkan vaksinasi Covid-19 masing-masing seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” titah Baginda.

Sultan Selangor juga menyeru semua wakil rakyat untuk menasihati penduduk negeri ini segera mengambil suntikan pelalian bagi mencapai imuniti kelompok.

“Kepada yang telah mendapat dua dos vaksin, beta berharap jangan ambil mudah dan merasakan diri kebal. Beta menyeru rakyat terus mematuhi SOP dan hiduplah dalam norma baharu,” titah Baginda.

Siaran langsung sidang dewan negeri boleh ditonton menerusi Youtube SelangorTV dan Facebook MediaSelangor. Laporan berita pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my.


Pengarang :