Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada penerima ketika program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 21 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Suntikan tanpa janji temu terus diterima walau slot Vaksin Selangor penuh

PETALING JAYA, 21 OGOS: Permintaan suntikan pelalian tanpa janji temu menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti masih tinggi walaupun slot itu sudah ditutup sejak 13 Ogos lalu.

Penyelaras PPV Tropicana Gardens Mall berkata masih ada lagi individu yang hadir sehingga hari ini namun, terpaksa ditolak kerana proses vaksinasi kini hanya memfokuskan pemberian dos kedua kepada penerima.

“Bagi slot tanpa janji temu sahaja lebih 10,000 dos vaksin diberikan sejak tawaran itu dibuka kepada orang ramai pada 3 Ogos lalu.

Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Mohammad Zulmajdi Basyeer bercakap kepada media ketika program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 21 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Secara keseluruhan sejak PPV ini dibuka bermula 26 Jun lalu kita sudah memberikan lebih 50,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti dan industri,” kata Mohammad Zulmajdi Basyeer ketika ditemui pada program Selvax PPV Tropicana Gardens Mall di sini hari ini.

Menurut Mohammad Zulmajdi seramai 5,300 individu hadir melengkapkan suntikan dos kedua di PPV tersebut hari ini dan kebanyakan yang hadir adalah untuk Selvax Komuniti.

“Enam Dewan Undangan Negeri (DUN) terlibat iaitu Bandar Utama, Paya Jaras, Kampung Tunku, Bukit Lanjan, Bukit Gasing dan Kota Damansara,” katanya.

Selain Tropicana Gardens Mall, Selangor menyediakan empat PPV khusus untuk orang ramai mendapat suntikan tanpa janji temu iaitu di Evo Mall, Bandar Baru Bangi; Aurora Place, Bukit Jalil; Hotel De Palma, Shah Alam dan Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 penduduk negeri ini.


Pengarang :