Selangorkini
Pelajar orang kelainan upaya (OKU) Ahmad Zubaidi Helmi, 19, (kanan) yang ditemani ibu Normah Harun, 46, mengikuti sesi PdPR di Kampung Mengabang Lekor pada 8 Februari 2021. Foto BERNAMA
RENCANA WAWANCARA

Tangani segera murid kurang motivasi belajar dalam talian

Oleh Muhammad Basir Roslan

Artikel ini ditulis bersempena sambutan ulang tahun ke-65 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun ini, bertemakan ‘Aksara Nan Hidup Sepanjang Zaman’.

Artikel turut membincangkan cara terbaik untuk mengatasi burnout dan kehilangan motivasi pelajar untuk terus belajar dan membaca akibat kelesuan pandemik Covid-19.

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Sistem Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) yang kini diguna pakai oleh sistem persekolahan negara dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19, dilihat secara tidak langsung mencetuskan isu learning burnout atau hilang motivasi untuk belajar dan membaca dalam kalangan pelajar, khususnya murid sekolah rendah.

Isu ini dikhuatiri menyumbang kepada peningkatan kadar ketinggalan dalam pembelajaran yang mana berdasarkan kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke atas kumpulan B40 di kawasan pangsapuri di sekitar ibu negara, didapati enam daripada 10 murid hilang motivasi untuk mengikuti PdPR.

Mengulas perkara itu, pensyarah Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata isu keciciran pembelajaran dan learning burnout perlu ditangani segera bagi mengelakkan lebih ramai pelajar tertinggal dalam pelajaran dan seterusnya mewujudkan lost generation.

(Lost generation merujuk kepada kohort murid yang keciciran pendidikan sehingga menyebabkan tahap pencapaian pendidikan mereka lebih rendah berbanding kumpulan sebelumnya. Antara punca terjadi lost generation ialah kehilangan waktu pembelajaran untuk tempoh yang lama akibat peperangan, bencana alam yang besar atau penularan wabak penyakit berjangkit berpanjangan)

PERLU KEMBALIKAN SEMANGAT PELAJAR

Menurut Dr Anuar, berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan (KPM) yang dikeluarkan pada 11 Oktober 2020, kadar keciciran murid sekolah rendah meningkat kepada 0.13 peratus pada tahun berkenaan berbanding 0.12 peratus pada 2019, sementara kadar keciciran pelajar sekolah menengah pula meningkat daripada 1.14 peratus kepada 1.26 peratus bagi tempoh sama.

Bagaimanapun beliau yakin angka itu akan terus meningkat, mengambil kira keadaan pandemik yang semakin serius serta tidak ada tanda-tanda akan reda dalam masa terdekat.

“Di Malaysia, umum mengetahui ada pelbagai kaedah pembelajaran digunakan, iaitu secara dalam talian, luar talian (offline), edaran nota serta TV Pendidikan. Namun dalam situasi negara sekarang, PdPR dalam talian lebih diutamakan.

“Isu yang timbul ialah negara kita sebenarnya masih belum cukup bersedia untuk melaksanakan PdPR dalam talian. Ada dua sebab, iaitu ketidakmampuan dari segi penyediaan peranti yang sesuai dan mencukupi serta capaian Internet kurang memuaskan,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, KPM sendiri melaporkan masalah peranti merupakan antara isu utama yang dihadapi oleh kira-kira 1.85 juta pelajar pada masa ini.

Selain itu, Dr Anuar berkata pelajar juga dikatakan tertekan dengan situasi pembelajaran semasa.

Kajian Fakulti Pendidikan UKM yang diketuai Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor bagi 2020 menunjukkan 70 hingga 80 peratus guru melaporkan antara cabaran utama melaksanakan PdPR ialah mendapatkan perhatian/fokus pelajar serta kadar kehadiran tidak mencapai 80 peratus.

Menurut kajian itu, masalah tumpuan pelajar tersebut dikaitkan dengan keadaan persekitaran rumah yang tidak kondusif.

UBAH PENDEKATAN

Bimbang potensi pelajar terbantut disebabkan tidak dapat mengikuti pembelajaran secara sempurna, Dr Anuar menyarankan agar pelaksanaan PdPR diubah daripada berbentuk sistem persekolahan kepada sistem pembelajaran, iaitu tidak ada lagi konsep kehadiran kelas secara seragam sebaliknya menekankan aspek engagement atau penglibatan mengikut keperluan dan kemampuan pelajar.

“Keutamaan kini seharusnya diberikan kepada subjek teras sahaja bagi mengurangkan stres kepada murid dan guru, di samping mengurangkan bilangan subjek tertentu yang tidak penting. Ini dalam masa yang sama dapat merawat learning burnout yang sedang berlaku dalam kalangan murid kita,” jelasnya.

Beliau turut mencadangkan agar kaedah PdPR diuruskan secara lebih profesional dan teratur, iaitu semua maklumat aktiviti dan rekod pelaporan PdPR dipusatkan ke dalam satu sistem yang mudah diakses oleh semua pihak berkepentingan.

WUJUDKAN e-SEKOLAH

“Saya cadangkan supaya kita wujudkan satu web atau aplikasi e-Sekolah sebagai pusat segala aktiviti PdPR. Boleh mulakan di sekolah masing masing. Ini adalah sekolah maya (hanya fokus pada urusan PdPR). Wujudkan dashboard yang mudah digunakan agar ibu bapa dan pelajar boleh menggunakan e-Sekolah. Ramai guru yang mahir bangunkan laman web. Ada juga ibu bapa yang boleh bantu bangunkan web ini, malah jika boleh dibangunkan dalam bentuk aplikasi lebih baik.

“Dalam web yang sama, kita juga boleh wujudkan button dashboard mengikut mata pelajaran dan tingkatan. Pengumuman guru boleh dibuat mengikut kumpulan PdPR. Pelajar atau ibu bapa hanya perlu tekan button nama guru untuk dapatkan maklumat atau apa juga makluman berkaitan aktiviti PdPR anak-anak mereka.

“Selepas selesai pengajaran secara dalam talian atau buat rakaman video untuk offline, guru-guru boleh masukkan pautan video pengajaran mereka dan soalan latihan dalam dashboard berserta tarikh penghantaran. Berikan tempoh yang sesuai untuk pelajar menjawab soalan latihan. Jika murid-murid masih kurang faham mereka boleh ulang tonton video pengajaran guru. Masukkan juga pautan sumber-sumber tambahan pembelajaran untuk setiap topik. Jika sekolah menggunakan platform Google Classroom (GC), maka masukkan semua pautan GC dalam web e-Sekolah,” cadang beliau.

Jelas beliau, e-Sekolah juga membolehkan pelajar berkongsi pautan video aktiviti harian mereka dengan rakan sekelas.

“e-Sekolah boleh menjadi alat membina persahabatan antara mereka sekalipun tidak hadir di sekolah,” katanya yang berharap saranan itu dapat mengurangkan beban dan burnout yang terpaksa ditanggung pihak berkenaan, khususnya murid, guru dan ibu bapa akibat kekangan dalam PdPR, serta mengembalikan semula semangat belajar dan membaca murid.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan berkata pemerhatian pihaknya mendapati semakin ramai guru berjaya menguasai kemahiran PdPR, selain ada antara mereka mempamerkan kreativiti dalam pengajaran.

“Kita gunakan PdPR demi keselamatan anak murid kita. Di sinilah kita lihat terserlah pelbagai cara kreatif guru dalam melaksanakan PdPR. Tapi nanti, jika sekolah dibuka (semula), guru-guru sebagai profesional sudah tentu akan terus memikirkan cara untuk menjalankan intervensi lain di samping langkah pemulihan bagi membantu anak didik,” katanya.

Pada masa sama, Tan meminta KPM agar terus berganding bahu dengan masyarakat, khususnya persatuan ibu bapa dan guru, bagi mencari jalan terbaik dalam memastikan pelajar mempunyai akses yang mudah untuk berhubung dengan guru.

– BERNAMA


Pengarang :