Zamarul Hisham dan isterinya Diana Rafar ketika diwawancara Media Selangor berhubung program Vaksin Selangor (Selvax) di kediaman mereka di Glenmarie, Shah Alam pada 5 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Zamarul: Vaksin Selangor pantas, mudahkan pelakon teruskan penggambaran drama

SHAH ALAM, 6 OGOS: Kepantasan proses pengambilan suntikan menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) memudahkan anak seni terutama pelakon untuk menjayakan penggambaran filem atau drama.

Pelakon terbaik Filem Festival Malaysia ke-18 pada 2005 Zamarul Hisham menjelaskan produksi menetapkan kru dan pelakon perlu menerima suntikan dua dos vaksin sebelum dibenar hadir ke studio.

Beliau dan isteri Diana Rafar hanya mengambil masa tiga hari untuk menerima tarikh suntikan selepas mendaftar menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Zamarul, pelakon pelbagai filem dan drama, menjelaskan suasana penggambaran lebih selamat apabila pelaksanaan berlangsung dalam kalangan individu yang selesai divaksin.

Zamarul Hisham

“Insya-Allah dalam September, saya akan mulakan penggambaran dan pihak produksi minta pelakon yang terbabit dalam drama dikehendaki vaksin dua dos,” katanya.

Beliau yang mengakui kehidupannya terjejas akibat pandemik menjelaskan ramai kalangan artis dan kru belakang tadbir turut terkesan kerana pendapatan mereka bergantung kepada penggambaran.

“Kita ada persatuan yang membantu anak seni kerana kami ibarat satu keluarga, jadi hubungan sangat rapat. Bila kita dengar kawan-kawan, artis, kru belakang tabir kita akan hulurkan bantuan,” katanya.

Zamarul dan Diana sebelum ini menerima panggilan daripada Persatuan Seniman Malaysia mengenai program Selvax sebelum terus membuat pendaftaran dan mengambil suntikan di pusat pemberian vaksin Skypark Subang pada 22 Julai.

Pada 19 Julai, kerajaan aktiviti penggambaran di luar studio dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketat iaitu hanya di negeri yang diisytihar memasuki fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Mengikut ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Ahmad Idham Ahmad Nadzri, produksi mesti membuat penggambaran yang terasing, terhad dan terkawal di negeri fasa kedua PPN.


Pengarang :