Selangorkini
Pelajar tingkatan empat dan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Matang Kuching menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer di Klinik Kesihatan Kampung Telaga Air, Kuching, Sarawak pada 8 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

CITF-A sasar 60 peratus remaja dapat dos pertama pada November

PUTRAJAYA, 15 SEPT: Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) menyasarkan 60 peratus remaja berusia antara 12 dan 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 pada November ini dan 80 peratus mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.

CITF-A yang dipengerusikan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali memaklumkan remaja berumur 16 dan 17 tahun yang akan menduduki peperiksaan awam dan remaja dengan komorbid diberi keutamaan menerima vaksin itu.

“Jenis vaksin yang akan digunakan adalah Pfizer Bio-NTech dan sebanyak dua dos suntikan akan diberikan kepada remaja,” menurut CITF-A dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan program pemberian vaksin untuk remaja juga menyasarkan murid di sektor pendidikan swasta, remaja dalam institusi perlindungan dan pemulihan serta remaja dalam komuniti seperti gelandangan, pelarian dan bukan warganegara.

Proses pemberian vaksin kepada remaja akan dilakukan antaranya melalui secara jangkau luar ke sekolah atau institusi secara berjadual dengan pemberian vaksin akan dilakukan oleh Pasukan Pelaksana Vaksinasi yang terdiri daripada kakitangan kesihatan, pengamal perubatan swasta atau badan bukan kerajaan (NGO) perubatan.

“Bagi memudahkan remaja yang akan menduduki peperiksaan utama yang bersekolah di sekolah berasrama penuh atau asrama harian, janji temu vaksin bagi dos satu akan diberikan di klinik swasta atau sekolah yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka.

“Dos dua pula akan diberikan di sekolah masing-masing atau di lokasi pemberian dos satu sekiranya sekolah mereka belum beroperasi,” menurut CITF-A.

Menurut CITF-A, remaja dengan komorbid perlu mendapatkan vaksinasi di hospital atau klinik kesihatan yang merawat mereka.

Bagi remaja yang tidak dapat hadir bersama ibu atau bapa atau penjaga, mereka akan diberikan janji temu ke klinik kesihatan swasta yang berdekatan melalui aplikasi MySejahtera.

CITF-A memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) telah membangunkan portal pendaftaran institusi iaitu Portal Vaksin-Anak-Ku dan semua sekolah, institusi pendidikan, perlindungan dan pemulihan kerajaan dan swasta dimohon untuk mendaftarkan institusi masing-masing di portal tersebut.

“Pada masa sama, ibu atau bapa dan penjaga kepada remaja disaran untuk mendaftarkan anak mereka sebagai tanggungan di dalam aplikasi MySejahtera. Ini bagi membolehkan remaja mendapatkan sijil vaksinasi digital MySejahtera masing-masing,” menurut CITF-A.

CITF-A ditugaskan untuk membuat penetapan dasar dan penyelarasan pelaksanaan pelan vaksinasi remaja serta berperanan mengkoordinasi strategi dan tindakan pelaksanaan di peringkat kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dan agensi swasta yang terlibat.

Keanggotaan CITF-A terdiri daripada pelbagai agensi berkepentingan seperti KKM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pendidikan, ProtechHealth, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bahagian Pendidikan MARA, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Penjara dan Jabatan Imigresen.

-BERNAMA


Pengarang :