BUDAYARENCANA

Gantung

Oleh Farahin W

Ilustrasi Matarojit

Tidak kedengaran seekor pun tikus berdecit. Sunyi macam dilanda badai. Dia berjalan perlahan menyelusuri lorong. Sepi macam di kuburan. Pak Said menyambut kedatangannya. Tidak ada karpet merah dan paluan kompang. Atau kain rentang mengalu-alukan kehadiran. Yang ada cuma angin malam menghiris pipi. Dingin malam yang tidak menyenangkan – katanya.

Di tiang-tiang lampu ada kepala-kepala bergantungan. Melayang-layang ditiup angin. Ada yang sudah mengering. Ada yang masih basah dengan darah bertitisan. Ada daging-daging meluruh dari tulang. Satu persatu bergantung-gantung macam tanglung. Lalat menghurung kepala-kepala di tiang lampu. Dalam larut malam, wajah-wajah kepala itu tertanggal dalam kegelapan. “Benar-benar dingin malam yang tak menyenangkan”, katanya lagi.

Di kampung ini, ada deretan rumah-rumah kedai. Semuanya diam. Lampu dipadamkan dan tak ada satu kenderaan pun di jalan. Yang ada laki-laki dan perempuan bersatu dengan koridor. Hamis darah menjentik hidung. Bilah-bilah pisau bersusun di tepi. Dan di sebelah tubuh-tubuh mereput, ada nasi dengan lauk ayam yang tidak disentuh. Air sirap dengan peluh-peluh ais mencair. Semuanya tidak dimamah.

“Rumah ketua kampung di sebelah masjid. Mari!” Pak Said mengajak.

Dia mengangguk. Entah kenapa dia memilih berjalan kaki berbanding menunggang motosikal. Dan entah kenapa, Pak Said tidak membantah. Motosikalnya dibiarkan di pintu gerbang sebelum masuk ke kampung. Semacam penyesalan bersarang di kepalanya, kelak dia harus berjalan kaki lagi ke pintu gerbang. Kalau nasibnya malang, Pak Said tidak mahu menemaninya berjalan keluar.

“Malam begini, tok ketua belum tidurkah?” dia berbasa basi.

“Orang tua itu mana tahu tidur. Tengah kira tasbih agaknya,” Pak Said ketawa. Dia ikut ketawa meski ia tidak lucu baginya.

Sepi masih membelenggu. Dia tidak lagi memaksa mulut berkata-kata. Rumah ketua kampung besar. Binaannya batu. Ada corak kerawang pada pagar rumah. Belum sempat Pak Said memberi salam, orang tua itu lebih dahulu membuka pintu rumah. Ketua kampung ukirkan senyuman. Kurang pasti apakah ia senyuman menyambut kedatangan atau senyuman dipaksakan. Dia ikut tersenyum. Rekahan bibirnya terasa menyakitkan. Sedarlah dia dari tadi belum seteguk air pun dia minum.

“Sudah jenguk-jenguk kampung? Sekarang, nak ke mana?”

“Belum lagi, Pak Din! Sengaja singgah ke sini dulu. Saya nak pusing kampung dululah.”

“Boleh saja. Tapi ingat. Jangan sentuh atau turunkan,” pesannya sebelum pintu rumah ditutup kembali.

Dia memandang Pak Said sebelum orang tua itu turut tersenyum. Ia pahit. Tak selindung-selindung. Tidak dia tanyakan kenapa. Tidak pula dia fikirkan mahu menyentuh apa lagi menurunkan.

“Nama saya Laila.”

Pak Said ketawa. Barulah dia sedar sejak kedatangan perempuan ini, tidak sekali pun dia tanyakan namanya. Dua tahun orang-orang kampung tidak bertegur sapa. Sudah janggal rasanya bercakap-cakap dengan orang baru. Apatah lagi seorang perempuan muda dari kota.

Laila merenung masjid lama sebelum memandang Pak Said yang mengalihkan matanya. Di tiang masjid ada lelaki bergantungan. Tidak bergerak dan tidak bersuara. Badannya gempal tetapi masih utuh tergantung. Dia melewati masjid. Di kampung ini, rumah-rumah tersusun rapat-rapat – sebelah-menyebelah. Ada rumah kekal kayu, ada pula sudah berbatu. Dahinya berkerut sedang peluh dari tadi tak henti-henti berbutir. Di hadapan setiap rumah ada lelaki dan perempuan tergantung-tergantung.

“Pak Said?”

“Tengok saja.”

Laila semakin resah. Kenapa tidak diapa-apakan tubuh yang bergantung-gantung ini? Kenapa dibiarkan mereka leper di koridor rumah kedai? Ada apa dengan darah mengering dan dihurung lalat? Ada apa dengan kampung ini? Teman-temannya yang pernah datang malah tak pernah pulang. Kalau ada, semuanya diam. Dingin malam yang tak menyenangkan – katanya.

Perempuan itu membetulkan kaca mata. Rambut dirapikan ikatan. Mujur dia tidak memilih melepaskan rambut malam ini. Ia pasti tidak menyenangkan. Ketika Laila menuruni bukit, kedengaran perlahan suara seorang perempuan. Pak Said menggeleng. Laila menjegil.

“Jangan degil, nak,” katanya. Berbisik.

Laila akur. Dia biarkan langkahnya ke hadapan sebelum telinganya menangkap suara seorang lelaki. Perlahan dan mendesah. Tersekat-sekat. Dalam kesayuan, ada anak-anak kecil sedang merengek-rengek memanggil bapa. Pak Said menggeleng. Jalan terus, nak! Di hadapannya kini sebuah rumah. Sederhana besar dengan binaan kayu. Ada kesan dimakan anai-anai pada pintu. Di hadapannya sebuah kerusi malas. Sudah berkarat tetapi masih boleh dipakai. Old but gold, kata Pak Said. Laila tersengih.

“Ini rumah Pak Said.”

Wajahnya yang berkedut-kedut kini bercahaya. Di hadapan pintu rumahnya ada dua bakul makanan. Belum dibawa masuk. Belum dijamah. Dia kemudian memandang Laila dengan matanya yang redup. Dingin malam yang tak menyenangkan – katanya.

“Kampung ini dulu aman. Orang berkunjung ke sini, bercerita dan ketawa. Pak Said selalu bantu Pak Jamal baiki jala. Sekarang lihat, tubuhnya tinggal rangka. Tiba-tiba semua terkurung tak boleh keluar. Dan entah bila mulanya, Pak Said dah tak ingat, ia seperti yang engkau lihat sekarang. Ramai anak muda datang ke sini seperti engkau. Melihat orang bergantung-gantung, sama menggelegaknya seperti engkau. Aku pun, nak! Aku pun. Entah salah apa kami semua. Satu kampung begini merana.”

“Tak ada yang datang tolong? Pak Din buat apa?”

Pak Said meraup wajah. Matanya berkaca sedang bibirnya bergetar. Ada garis hitam pada matanya. Kelihatan jiwanya semakin rapuh. Tinggal saja jasadnya masih bergerak.

“Kau ingat lelaki gempal di masjid? Itu anak Pak Said,” katanya sebelum air matanya tumpah.

Kerusi malas ditarik ke tengah beranda. Pak Said menggaris senyum, memanjat, lalu dibiarkan kakinya tidak lagi menjejak lantai.

Suara lelaki tua itu tersangkut-sangkut macam babi kena sembelih. Wajahnya membiru sedang kaki terkutik-kutik. Laila memeluk tubuhnya yang kurus kering. Turun, pak! Turun! Air mata berjujuran keluar. Tak ada kudrat memaksa Pak Said turun dari terus tergantung. Laila panjat kerusi malas. Laila peluk Pak Said. Laila tolak badan Pak Said. Laila panggil Pak Said. Laila menjerit. Pak Said tak bergerak. Diam. Tergantung.

Laila mengekor suara yang mendesah-desah meminta tolong. Setiap lelaki yang tergantung Laila turunkan. Setiap perempuan yang bergantungan Laila turunkan. Orang yang sudah merangka dalam kereta buruk dengan makanan-makanan basi, Laila keluarkan. Fikirannya kini berkecamuk. Ada guruh berdentam-dentum dalam dadanya. Laila terduduk merenung rumah-rumah dengan tubuh tergantung-gantung sebelum berekor-ekor anjing tiba-tiba keluar entah dari mana.

Dengan mata merah menyala, anjing-anjing menyerang Laila sehingga terbaringlah tubuh itu di atas jalan. Dia merenung langit malam sambil berbisik – dingin malam yang tak menyenangkan. Anjing-anjing menggerogoti tubuh kecil Laila. Seekor mencarik tangan, seekor memilih kaki. Yang lain mengorek mata, mencabut hidung dari muka, memamah bibir, usus, jantung, hati dan buah pinggang. Daging-daging berselerak di atas lantai. Hamis.

Di rumah, Pak Din menyarung pelikat. Mengira butiran tasbih sambil mendengar lolongan anjing membelah malam. Esok mesti digantungkan kepala Laila di tiang lampu yang masih kosong. Tanda penghargaan.

 

 


Pengarang :