Sukarelawan membantu Orang Kelainan Upaya (OKU) ketika Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Hulu Bernam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Orang Ramai,Hulu Bernam, Hulu Selangor pada 9 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Golongan rentan belum terima vaksin diseru segera daftar Selvax

SHAH ALAM, 9 SEPT: Penduduk Selangor dalam golongan rentan yang belum menerima vaksin diseru melakukan pendaftaran menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax).

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata pihaknya akan menghubungi individu yang mendaftar bagi membolehkan mereka menerima pelalian itu dengan kadar segera.

“Jika anda, keluarga atau rakan terdekat dalam kategori individu yang terlantar di rumah kerana keuzuran, tidak mampu hadir ke pusat vaksinasi dan belum menerima vaksin mohon isikan borang di pautan http://bit.ly/selvaxmobile,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata golongan ini juga boleh mengimbas kod QR yang tertera pada poster yang dikongsikan di Facebook bagi membolehkan orang ramai membuat pendaftaran.

“Pihak kami akan menghubungi anda dengan kadar segera. Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke talian 011-5755 1754,” katanya.

Pada 24 Ogos, Dr Siti Mariah memaklumkan program vaksin bergerak anjuran Kerajaan Negeri dijadualkan bermula bulan ini bagi memastikan lebih ramai rakyat menerima suntikan pelalian.

Katanya, klinik bergerak akan ditempatkan di sesuatu lokasi berpandukan maklum balas jumlah individu belum divaksin dari komuniti serta wakil rakyat di samping Klinik Selcare terus memberi suntikan kepada penerima yang datang.


Pengarang :