Hee Loy Sian berucap dalam majlis penyampaian bantuan kepada 17 persatuan pelancongan negeri diadakan secara maya menerusi Facebook Tourism Selangor pada 9 September 2021.
EXCOSELANGOR

Selangor peruntuk 10,000 baucar pergiat kembali aktiviti pelancongan

SHAH ALAM, 9 SEPT: Kerajaan Negeri menyediakan 10,000 Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 bagi merancakkan aktiviti sektor berkaitan susulan Selangor beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi tujuan berkenaan dengan setiap baucar bernilai RM100 yang boleh digunakan mulai Oktober depan.

“Kita akan lancarkannya sama ada bulan ini atau bulan hadapan. Semoga baucar tersebut dapat digunakan tahun ini juga kerana hanya tinggal tiga bulan sahaja lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahaan bantuan kepada 17 persatuan pelancongan di Selangor yang diadakan secara maya menerusi Facebook Tourism Selangor hari ini.

Loy Sian berkata sebelum ini menerusi Baucar Pelancongan Negeri Selangor 1.0, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta yang diagihkan kepada umum pada Januari lalu melalui Lazada dan Touch ‘n Go e-wallet.

Pada 18 Disember tahun lalu, Selangor melancarkan program Penebusan Subsidi Baucar Pelancongan bernilai RM200 setiap satu.

Pengagihan membabitkan 10,000 baucar untuk menginap di hotel, taman tema dan inap desa berlesen.


Pengarang :