Rakaman gambar proses pembotolan vaksin CanSino di Solution Biologics Sdn Bhd di Taman Teknologi Bukit Jalil pada 30 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kumpulan tertentu terima dos ketiga, penggalak bulan depan

SHAH ALAM, 24 SEPT: Kerajaan akan memberi dos ketiga dan dos penggalak kepada kumpulan tertentu yang memerlukan pada bulan depan.

Menteri kesihatan berkata garis panduan pemberian suntikan itu sedang dibangunkan sebelum dibentangkan ke mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk kelulusan.

Khairy Jamaluddin berkata penggunaan dos ketiga dan penggalak yang setakat ini hanya diterima daripada Pfizer-BioNTech juga perlu diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Dos tersebut diberikan kepada individu yang sistem imun badan tidak bertindak balas kepada dua dos suntikan Covid-19 manakala dos penggalak untuk mereka dengan imun badan sebaliknya tetapi menurun beberapa bulan selepas itu.

“Saya yakin kita akan mula memberi dos ketiga dahulu diikuti dos penggalak bermula bulan depan,” katanya pada sidang media hari ini.

Khairy turut mengumumkan sela masa dos kedua vaksin AstraZeneca akan dipendekkan dari sembilan minggu kepada enam minggu bermula 1 Oktober ini.

Sebelum ini, jarak masa dos kedua vaksin jenis itu adalah 12 minggu sebelum dipendekkan ke sembilan minggu pada Julai lalu.


Pengarang :