Dato’ Seri Amirudin Shari (dua kiri) bertemu peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak, Batu Caves pada 19 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Segera tubuh pasukan khas langkah tepat tangani pandemik

SHAH ALAM, 16 SEPT: Langkah segera Kerajaan Negeri menubuhkan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) tepat dalam menangani pandemik, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan penularan virus itu satu kejutan penting berikutan seluruh negara tidak berpengalaman menguruskan atau menanganinya.

“Kita mengambil pendirian untuk mendengar daripada pakar. Kita harus mendengar dengan banyak, berfikir tapi dalam masa yang sama kena cepat membuat keputusan.

“Kita wujudkan STFC yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (mantan menteri kesihatan),” katanya menerusi dokumentari khas ‘Selangor Gempur Covid-19’ yang disiar di Facebook hari ini.

STFC ditubuhkan pada 10 Mac untuk memantau dan mencegah penularan wabak yang turut dianggotai
empat pakar kesihatan, wakil Jabatan Kesihatan Negeri dan Unit Bencana Negeri.

Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan, Petaling Jaya pada 19 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pasukan itu turut membangunkan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) selain Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) bagi mengekang penularan virus di kilang.

Sementara itu, Amirudin berkata pandemik secara tidak langsung mempercepat usaha negeri melakukan proses pendigitalan selaras ke arah negeri pintar pada 2025.

Beliau menambah pelaksanaan kaedah mengenal pasti, pengujian, pengesanan, kuarantin dan sokongan (FTTIS) menerusi saringan bersasar turut mendorong ke arah itu.

“Di peringkat awal mereka (orang ramai) rasa macam tidak begitu penting (saringan) tapi bila tengok kes makin tinggi kita jelaskan perlahan-lahan, akhirnya mereka berbondong-bondong datang.

“Dengan kehadiran lebih 1,000, ada mencecah 2,000 ke 5,000 di Subang Jaya sebenarnya kita dapati kes-kes asimptomatik begitu banyak. Itu satu penyebab kepada kes sporadik yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata pandemik juga memberi peluang untuk menilai semula kehidupan dan tindakan sebelum ini sama ada dalam pentadbiran, pengurusan, sistem kesihatan, sosial dan sokongan atau urus niaga.

“Dalam peperangan, pertempuran, perjuangan, kita tidak boleh putus asa. Selangor rakyatnya sangat progresif, saya juga sangat positif ke depan dan kita akan tabah.

“Sentiasa mengemas kini data, fakta, dapatan daripada pakar yang kukuh untuk sentiasa ke depan dalam menangani krisis,” kata Amirudin.


Pengarang :