Petugas kesihatan memberi suntikan pelalian kepada penerima dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Hulu Bernam di Dewan Orang Ramai Hulu Beram pada 14 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Program vaksin bergerak galakkan masyarakat ambil vaksin

HULU BERNAM, 14 SEPT: Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak yang dijalankan sejak Ahad menggalakkan rakyat negeri ini mengambil pelalian Covid-19.

Jururawat Noorul Syazhida Rahim berkata inisiatif Kerajaan Negeri menerusi penggunaan bas dan van klinik itu memudahkan orang awam divaksin sekali gus membentuk imuniti kelompok lebih cepat.

“Ini cara kita memberi peluang kepada masyarakat untuk ambik pelalian bagi mencegah penularan Covid-19. Lebih banyak program seperti ini dijalankan lebih ramai rakyat ambil vaksin.

“Langkah ini merupakan usaha yang baik. Tanpa mengira warga tempatan atau asing, Kerajaan Selangor tetap beri suntikan percuma kerana matlamat untuk melindungi semua pihak,” katanya.

Jururawat Noorul Syazhida Rahim. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui di program Selvax bergerak Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Selangor yang diadakan di Dewan Orang Ramai Hulu Bernam hari ini.

Sementara itu, Noorul berkata walaupun program hanya menggunakan kemudahan bas namun semua petugas berasa selesa.

“Bas lengkap pengawa dingin. Dari segi fasiliti seperti meja dan ruang, ia senang disediakan memandangkan jumlah penerima kurang berbanding di ppv (pusat pemberian vaksin),” katanya.

Selvax bergerak bermula 13 September memperuntuk 50,000 dos vaksin jenis Sinovac bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Untuk permulaan ia berjalan seminggu melibatkan 11 DUN iaitu Hulu Bernam, Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.


Pengarang :