Presiden dan Naib Canselor Unisel, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman
AGENSISELANGOR

Rakyat wajib fahami erti merdeka, keamanan dikecapi rentetan sejarah terdahulu

SHAH ALAM, 14 SEPT: Meskipun Malaysia telah mengharungi tempoh 64 tahun sebagai negara merdeka namun erti kemerdekaan sebenar masih tidak difahami segelintir rakyat, kata Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel).

Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata biarpun dua tahun sambutan Hari Kebangsaan agak suram disebabkan Covid-19 tetapi setiap warganegara perlu menghayatinya kerana keamanan dialami adalah rentetan daripada sejarah sebelum ini.

“Sebagai rakyat kita wajib fahami maksud kemerdekaan dan penting untuk tahu perkembangan sejarah terutama kepada generasi baharu supaya kita lebih menghargai kehidupan ini, jika tidak ia akan dianggap perkara biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di webinar bertajuk Konsep Demokrasi dan Pembinaan Bangsa Malaysia: Cabaran, Halangan dan Masa Depan menerusi Facebook Unisel, hari ini.

Menurut Dr Mohammad Redzuan, sambutan kemerdekaan kini juga turut dipengaruhi dengan suasana politik kurang stabil sekali gus memberi kesan kepada rakyat.

“Kita melihat suasana ini tidak begitu menggalakkan sehingga ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada masyarakat yang tidak lagi menunjukkan keriangan dalam menyambut hari kemerdekaan ditambah pula kehadiran pandemik Covid-19,” katanya.

Webinar sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2021 itu turut dihadiri dan dirasmikan EXCO Perpaduan Dr Siti Mariah Mahmud.


Pengarang :