Selangorkini
Anggota bomba membantu mangsa banjir di Jalan Mohd Yamin, Klang petang tadi. Foto Ihsan Bomba Selangor
AGENDA NASIONAL

Bomba: SOP menyelamat ketika banjir ditambah baik

KUANTAN, 27 OKT: Tatacar operasi piawai (SOP) menyelamat ketika musim banjir akan ditambah baik berdasarkan dapatan jawatankuasa siasatan insiden kematian seorang anggota bomba yang rebah dalam banjir ketika bertugas, minggu lepas.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata selain empat pegawai JBPM, jawatankuasa yang ditubuhkan baru-baru ini itu turut dianggotai seorang pakar perubatan.

Beliau berkata selain siasatan berkaitan pengurusan keseluruhan operasi, elemen utama siasatan oleh jawatankuasa itu juga melibatkan pengurusan rawatan segera terhadap mangsa serta bagaimana kawalan penilaian risiko dibuat semasa kejadian.

“JBPM sudah mempunyai manual SOP keselamatan dan kesihatan pekerjaan, namun kita terbuka untuk menambah baik kelemahan yang ada, terutamanya menjelang musim tengkujuh yang dijangka bermula pertengahan November,” katanya.

Nor Hisham berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutup Kursus Asas Pertauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) JBPM Pahang di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah JBPM negeri Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Pada 21 Okt lepas, Mohd Diya Che Jusoh, 46, yang bertugas di BBP Melaka Tengah meninggal dunia pada 3.11 pagi di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka, selepas rebah semasa menyertai operasi menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat, pada 20 Okt.

Sementara itu, Nor Hisham berkata pihaknya mewujudkan dua pangkalan hadapan bagi menghadapi musim tengkujuh iaitu di Wakaf Tapai, Terengganu yang akan menumpukan negeri-negeri di Pantai Timur, serta di Ayer Hitam, Johor, dengan bantuan dari negeri berhampiran yang tidak mengalami bencana itu.

Beliau turut memaklumkan JBPM telah melaksanakan penjajaran semula di semua BBP di seluruh negara bagi memastikan setiap balai memiliki keanggotaan yang mencukupi berdasarkan penilaian risiko lokaliti terlibat.

Nor Hisham menambah seramai 11 PBB telah dibatalkan lantikan dalam tempoh dua tahun sejak 2019 kerana masalah disiplin, termasuk penyalahgunaan dadah dan tidak hadir bertugas.

– BERNAMA


Pengarang :