Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Dato’ Abd Hamid Hussain bercakap kepada media selepas melawat tapak jualan program Selangor Agro Market (SAM) di Taman Tasik Cyberjaya, Sepang pada 30 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPSepang bentang projek bandar hijau di Ekspo Dubai

CYBERJAYA, 31 OKT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan membentangkan projek bandar hijau (Urban Nature Project) di Ekspo Dubai 2020 minggu hadapan.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata pihak berkuasa tempatan itu dipilih Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) untuk berkongsi pembangunan di Sepang termasuk berkaitan inisiatif rendah karbon.

“Di samping itu, kita mahu menarik pelabur yang berminat melabur di Sepang kerana kita masih mempunyai ruang untuk dibangunkan khususnya di Cyberjaya.

“Sekiranya ada pihak bersesuaian kita alu-alukan dan cuba menemukan mereka dengan pemaju,” katanya ditemui selepas Program Selangor Agro Market (SAM) di Taman Tasik Cyberjaya semalam.

Terdahulu, beliau mengiringi EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim ke tapak jualan SAM bersama Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor Aiaida Abdul Rashid.

Sementara itu, Abd Hamid berkata, berdasarkan rancangan tempatan, Sepang memerlukan industri berteknologi tinggi dan tenaga kerja yang ramai.

“Namun kita tidak mahu kilang-kilang industri berat yang boleh membawa kepada pencemaran.

“Kita fokus kepada teknologi tinggi yang boleh menjana pendapatan kepada MPSepang dan negara serta memberi pekerjaan kepada warga Malaysia berbanding industri berat mengupah warga asing,” katanya.


Pengarang :