Selangorkini
Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 selepas menewaskan Thailand 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Foto Facebook Football Association of Malaysia
AGENDA SUKANKINI

Piala Asia: Skuad B-23 yakin tumpaskan Laos esok

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Hanya kemenangan yang menjadi misi skuad muda negara apabila turun menentang Laos dalam aksi sulung Kumpulan J, Kelayakan Piala Asia Bawah-23 tahun 2022 di Mongolia esok.

Menyedari tidak boleh mengambil mudah cabaran pasukan lawan, penyerang sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin berkata beliau dan rakan-rakannya, sudah bersedia untuk memulakan kejohanan kelayakan itu dengan kemenangan, di Stadium Persekutuan Bola Sepak Mongolia (MFF), di Ulaanbaatar.

“Semestinya menang, itu sasaran pasukan. Kita tak nak kalah, tak nak seri, cuma mahu menang sahaja buat rakyat Malaysia…semua pemain kena lakukan sesuatu, kita semua mahu menang esok,” katanya menerusi video dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada media hari ini.

Pemain berusia 19 tahun yang beraksi dengan kelab KV Kortrijk di liga utama Belgium itu, mengakui perlu bersedia dan bijak untuk mengucar-kacirkan barisan pertahanan lawan sekiranya mereka merancang untuk ‘merantai’ pergerakan beliau.

“Bagi saya itu tiada ada masalah, (jika) itu perancangan mereka, jurulatih Brad Maloney pun ada perancangannya sendiri, dengan perancangan teknikal untuk Malaysia. Itu biasalah, sebagai penyerang mesti ada orang sasarkan, saya kena bijak dan jangan ambil mudah,” jelasnya.

Sementara itu, Maloney berkata anak buahnya dapat menyesuaikan diri dengan baik keadaan di Ulaanbaatar, termasuk cuaca sejuk yang turun sehingga enam darjah celsius pada waktu siang selain beraksi di padang sintetik.

“Ya, keadaan padang akan berbeza apabila anda bermain di rumput asli dengan tiruan, kita perlu biasakan, itulah keadaan pada kejohanan, jadi lebih cepat kita dapat adaptasi, adalah lebih baik. Saya rasa kesemua tiga-tiga lawan mempunyai kualiti baik, dan setiap perlawanan agak mencabar.

“Kita telah bertemu dengan pasukan ini di kejohanan berbeza sejak beberapa tahun lepas, ia sentiasa perlawanan yang mencabar. Saya percaya pasukan ini akan dapat menjadi satu pasukan yang mampu membuatkan Malaysia berbangga,” katanya.

Selepas aksi menentang Laos esok, Malaysia akan bertemu tuan rumah Mongolia pada Khamis (28 Oktober) dan menutup kempen dengan aksi menentang Thailand pada 31 Oktober.

Sebanyak 16 pasukan akan layak beraksi di Piala Asia B-23 2022 yang dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 19 Jun depan, termasuk pasukan tuan rumah Uzbekistan.

-BERNAMA


Pengarang :