Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap seterusnya menyempurnakan majlis perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021 Peringkat Kebangsaan dijalankan secara dalam talian menerusi Facebook Jabatan Alam Sekitar pada 21 Oktober 2021.
AGENDANASIONAL

Selangor negeri pertama bangunkan taman industri, wajibkan sistem rawatan berpusat

SHAH ALAM, 22 OKT: Selangor bakal menjadi negeri pertama membangunkan taman perindustrian dengan mewajibkan pemain industri membina sistem rawatan influen secara berpusat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Invest Selangor Bhd sedang memperhalusi mekanisme insentif berkonsep pengurusan taman perindustrian bagi memastikan pembangunan kaedah yang dipraktikkan di negara maju itu tercapai.

Jelasnya, langkah itu merupakan antara usaha Kerajaan Selangor memelihara dan memulihara alam sekitar.

“Berpaksikan identiti sebagai negeri maju dan kuasa ekonomi berorientasikan perindustrian, Kerajaan Selangor mengalu-alukan pelaburan yang berkonsepkan ekonomi kitaran untuk mengitar semula buangan menjadi produk berguna.

“Ia sekali gus membolehkan sumber alam dipulangkan semula ke dalam sistem kitaran dan mampu mengurangkan penggunaan sumber baharu,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar Negara secara dalam talian hari ini.

Amirudin berkata dalam memastikan ekosistem alam sentiasa terjaga pihaknya turut menubuhkan Jawatankuasa Tetap Tindakan Alam Sekitar dipengerusikan Hee Loy Sian yang bertanggungjawab terhadap sebarang cadangan dan projek pembangunan negeri.

Jelasnya, Kerajaan Selangor turut mengadaptasi 17 matlamat pembangunan lestari mengikut ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui laporan Voluntary Sub-National Review.

“Selangor memperuntuk RM360 juta dalam Belanjawan 2021 untuk sumber air negeri. Kita turut wartakan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Pindaan) 2020, Skim Jaminan Air Mentah Negeri Selangor serta wujudkan 44 lokasi Friend of River yang melibatkan komuniti.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga terlibat aktif melaksanakan program bandar pintar dan bandar rendah karbon bagi meminimumkan kesan pemanasan global dan perubahan iklim,” katanya.


Pengarang :