Selangorkini
ADN Balakong Wong Siew Ki bercakap kepada media selepas menyerahkan kad SIM percuma di Pusat Khidmat Rakyat DUN Balakong di Taman Kasturi, Kajang pada 26 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Teroka bidang baharu, bangunkan pelancongan industri Balakong

KAJANG, 27 OKT: Pembangunan sektor pelancongan industri antara tumpuan wakil rakyat Balakong tahun depan bagi mempromosi kawasan tersebut kepada orang ramai.

Beberapa premis dikenal pasti antaranya kilang coklat, cendawan susu harimau dan kek bulan yang memiliki keunikan tersendiri, kata Wong Siew Ki.

“Pelancongan industri memang benda baharu di Malaysia, namun tidak di negara luar. Pelancong dapat mengetahui sejarah dan misi kilang itu melalui sesi taklimat dan bengkel.

“Program ini juga memberi peluang kepada pelancong melihat penghasilan produk dari awal hingga akhir termasuk teknologi digunakan di kilang berkenaan,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui pada program penyerahan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada 46 penerima di pejabat pusat khidmatnya di sini semalam.

Siew Ki menjelaskan inisiatif itu turut membantu pemilik kilang mencari idea baharu dalam pengurusan perniagaan mereka sekali gus meningkatkan hasil jualan.

“Pada masa sama dapat memperkukuh sistem ekonomi selain mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan,” katanya lagi.

 


Pengarang :