Ahmad Azri menyampaikan makanan asas kepada penerima bantuan program Jelajah Prihatin Komuniti di Damansara Damai, Petaling Jaya pada 21 November 2021. Foto AMIN RIDZUAN ISHAK/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Beri latihan kemahiran fokus selanjutnya program kebajikan MBI

PETALING JAYA, 21 NOV: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan memfokuskan kepada program meningkatkan kemahiran penduduk bagi membolehkan mereka lebih berdikari.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata inisiatif pengupayaan itu akan menjadi sebahagian daripada perancangan seterusnya di bawah program kebajikan.

Menurutnya, sebahagian daripada peruntukan RM28 juta akan digunakan bagi tujuan berkenaan susulan negara kini memasuki fasa pemulihan daripada Covid-19.

“Dalam dua tahun ini, MBI banyak beri fokus kepada program seperti pemberian bakul makanan kerana ramai tidak dapat keluar bekerja.

“Namun itu hanya sementara dan kita mahu bantu mereka untuk jangka panjang dengan beri latihan kemahiran terutamanya apabila sektor ekonomi sudah dibuka,” katanya selepas program Jelajah Prihatin Komuniti di Damansara Damai di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya sudah mengenal pasti syarikat swasta untuk menjalinkan kerjasama bagi melaksanakan program inisiatif berkenaan.

“Kita akan umumkan program apabila semuanya sudah dimuktamadkan.

“Program pengupayaan itu akan memberi nilai tambah kepada inisiatif dilaksana agensi Kerajaan Negeri seperti Yayasan Hijrah Selangor yang membantu melahirkan usahawan,” katanya.


Pengarang :