Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Dua kes jangkitan JE babit kematian di daerah Kota Setar

ALOR SETAR, 29 NOV: Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengesahkan terdapat dua kes jangkitan “Japanese Encephalitis” (JE) dikesan di Daerah Kota Setar dengan kedua-dua kes itu melibatkan kematian.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo berkata kes pertama dilaporkan pada 18 Nov lepas kemudian diikuti dengan kes kedua pada Khamis lepas (25 Nov) sekali gus jabatan itu mengisytiharkan wabak berkenaan di daerah terbabit pada hari sama.

Sehubungan itu, beliau berkata jumlah kumulatif kes JE yang dilaporkan di negeri ini setakat Khamis lepas ialah 10 kes melibatkan tiga kematian daripada lapan kes pada tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus.

“Aktiviti kawalan wabak telah dilaksanakan serta-merta. Antara tindakan kawalan yang dilaksanakan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar dan Jabatan Kesihatan Negeri ialah kawalan vektor menerusi semburan ruang termal dan larvaciding (menghapuskan larva nyamuk) di lokaliti kediaman pesakit dan tempat berisiko di lokaliti wabak.

“Selain itu, kajian entomologi oleh Pegawai Sains Kaji Serangga di lokaliti wabak dan pengesanan kes secara aktif (ACD) di sekitar kawasan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr Othman berkata masyarakat dinasihatkan untuk membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kediaman masing-masing serta mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit kepala dan muntah.

– BERNAMA


Pengarang :