Orang ramai mendapat suntikan pelalian pada program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja dan Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang di Stadium Tertutup MBSJ Serdang Jaya pada 7 November 2021. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Individu belum vaksin dipelawa sertai Selvax DUN Seri Serdang

SERDANG, 7 NOV: Orang ramai yang belum mendapat suntikan pelalian dipelawa hadir ke program Vaksin Selangor (Selvax) di Stadium Tertutup MBSJ Serdang Jaya sehingga jam 5 petang ini.

Sebanyak 500 dos vaksin disediakan termasuk bagi remaja dengan mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) atau hadir terus ke pusat vaksin.

Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seri Serdang Mashitah Ismail berkata lebih 100 individu disuntik setakat jam 2 petang tadi, kebanyakan melibatkan remaja.

“Kita mengalu-alukan orang awam sama ada warganegara atau warga asing yang belum divaksin ke program ini yang dibuka sehingga jam 5 petang,” katanya ketika ditemui.

Menurut Mashitah, pihaknya turut menyerahkan kit kesihatan kepada 50 peserta terawal yang hadir pada program tersebut selain menyediakan kerusi roda bagi individu kurang upaya.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.


Pengarang :