Selangorkini
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP pantau manipulasi harga menu, tipu timbangan di restoran

PUTRAJAYA, 5 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Ops Menu bagi menjalankan pemeriksaan pematuhan perundangan berkaitan penandaan harga serta penggunaan alat timbang di restoran dan kedai makan untuk mengelakkan manipulasi harga dan penipuan timbangan.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata fokus pemeriksaan Ops Menu adalah terhadap premis yang menyediakan makanan siap masak termasuk restoran dan kedai makanan Melayu, Cina, India, India Muslim, medan selera dan restoran makanan laut.

“Sasaran pemeriksaan melibatkan tanda harga serta alat timbang dan sukat yang digunakan oleh restoran dan kedai makan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata pengusaha restoran dan kedai makan diingatkan supaya sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan khususnya berkaitan penandaan harga dan alat timbang bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang termasuk didakwa di mahkamah atau dikenakan kompaun.

Menurut beliau tindakan tegas akan dikenakan ke atas peniaga yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan Dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020.

“Jika suatu pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 manakala jika bukan pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak lebih RM50,000,” katanya.

Bagi kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 pula, peniaga boleh didenda tidak melebihi RM40,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

Azman menasihatkan pengguna agar berhati-hati dan bijak memilih restoran dan kedai makan yang beretika seperti mempamerkan tanda harga yang jelas dan menggunakan alat timbang yang masih sah tempohnya bagi mengelakkan diperdaya segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab.

“Kuasa pengguna merupakan langkah pencegahan terbaik sebelum terkeliru atau dimanipulasi oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab dan tindakan penguatkuasaan adalah jalan terakhir ke atas peniaga berkenaan,” katanya.

Pengguna yang mempunyai maklumat berkenaan salah laku restoran dan kedai makan boleh mengemukakan aduan kepada pihak KPDNHEP melalui beberapa saluran antaranya WhatsApp ke 019-279 4317, portal e-aduan.kpdnhep.gov.my, call centre 1-800-886-800, e-mel [email protected] atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245.

-BERNAMA


Pengarang :