EXCO Pelancongan Hee Loy Sian (tengah) ketika sesi sidang media majlis Tourism Selangor Global Convention 2021 di Hotel New World, Petaling Jaya pada 23 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tourism Selangor jaya acara antarabangsa, lonjak pelancongan negeri

PETALING JAYA, 23 NOV: Tourism Selangor bakal menganjurkan dua acara berprestij pada Disember demi merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri itu tahun depan.

Acara itu adalah Pusing Selangor Dulu Travel Fair pada 3 hingga 5 Disember di Paradigm Mall dan Konvensyen Global Tourism Selangor 2021 (10-11 Disember) di Hotel New World Petaling Jaya.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata pihaknya menyasarkan 20,000 pengunjung menyertai kedua-dua program itu yang mana turut diadakan secara hibrid membabitkan peserta dari seluruh dunia.

“Acara ini juga merupakan yang terbesar serta pertama di Malaysia selepas Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta)…Ia juga selaras dengan usaha Kerajaan Negeri untuk mempromosi tempat menarik di Selangor.

“Kita harap dengan adanya acara seumpama ini orang ramai tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke Selangor pada tahun depan termasuk pelancong dari luar negara sejurus sempadan dibuka,” katanya.

Loy Sian berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pusing Selangor Dulu Travel Fair dan Konvensyen Global Tourism Selangor 2021 di Hotel New World Petaling Jaya di sini hari ini.

Konvensyen bertaraf global itu turut menampilkan ahli perniagaan ternama dan individu berpengaruh bagi berkongsi pendapat berhubung masa depan industri pelancongan.

Antara individu terbabit adalah pelakon dan Duta Kempen Pusing Selangor Dulu, Juliana Evans; Pemandu Lumba Antarabangsa Malaysia, Jazeman Jaafar; chef selebriti, Chef Zam dan penglibatan agensi seperti Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

Topik yang akan dibincangkan termasuk ‘Pelancongan Digital 4.0 dan E- Dagang’, ‘Inovasi dan Kepelbagaian dalam Kelangsungan Perniagaan Pelancongan Semasa Pandemik’, ‘Pengaruh untuk Destinasi Pelancongan’, ‘Pelancongan Sukan’, ‘Pelancongan Kreatif dan Industri Filem’ serta ‘Dialog Pelancongan Tahap C’.

Selain itu, Pusing Selangor Dulu Travel Fair juga turut menawarkan pakej pelancongan eksklusif serta pameran oleh MAS Golden Holidays, Jump Street Asia, SkyMirror Travel & Tours, Sunway Lagoon, dan Skytrex Adventure, Sungai Chongkak.


Pengarang :