Petugas KDEB Waste Management menggangkut timbunan barangan rosak akibat banjir di Padang Jawa, Shah Alam pada 23 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

2,064 tan metrik sampah diangkut dari kawasan terjejas banjir

SHAH ALAM, 23 DIS: Sebanyak 2,064 tan metrik sampah telah diangkut oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) di lapan daerah negeri ini yang terjejas banjir setakat jam 9 malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 487  tong Roll On Roll Off (RORO), 29 lori jengkaut digunakan untuk mengeluarkan sampah.

Jelas beliau, operasi pembersihan membabitkan 1,274 pekerja KDEBWM semuanya.

Kelihatan beberapa beberapa lori termasuk jengkaut KDEB Waste Management berada di kawasan perumahan bagi mengangkut sampah akibat banjir di Padang Jawa, Shah Alam pada 23 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Usaha ini giat dijalankan bersama bantuan petugas agensi serta kerjasama sukarelawan,”kata beliau dalam kenyataan mengenai perkembangan banjir di Selangor, hari ini.

Sementara itu, Amirudin ketika meninjau operasi pembersihan pasca banjir di Padang Jawa, Klang memaklumkan sebanyak 600 tan metrik sampah pukal diangkut KDEBWM di kawasan itu sahaja sejak Isnin lalu.

“Secara purata sebanyak 200 tan dikeluarkan sehari dan bermakna 600 tan dalam tempoh tiga hari berturut-turut. Jika diikutkan, 200 tan itu hanya 10 peratus daripada jumlah yang dikeluarkan di Padang Jawa.

“Kita sasar proses pembersihan mengambil masa dalam satu ke dua minggu bergantung kepada keadaan dan air surut. Setakat ini, timbunan sampah di jalan utama dibersihkan dalam tempoh 24 jam,”katanya.

Penduduk membersihkan kediaman selepas dilanda banjir di Padang Jawa, Shah Alam pada 23 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata, Padang Jawa antara lokaliti terjejas teruk dan KDEBWM memulakan operasi pembersihan selepas air benar-benar surut.

Operasi itu turut disertai EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han dan Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir.


Pengarang :