Selangorkini
Tinjauan Rumah Selangorku di Taman Bukit Raya, Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 10 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

24,428 unit Rumah Selangorku berjaya siap, ditawar kepada penduduk

SHAH ALAM, 1 DIS: Sebanyak 24,428 unit Rumah Selangorku berjaya disiapkan dan ditawar kepada penduduk sejak 2018 sehingga 15 November lalu.

Rumah jenis C paling banyak siap iaitu 9,294 unit diikuti jenis D (7,822 unit), jenis B (4,122 unit) manakala jenis A (2,019) dan jenis E (1,171), maklum EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata rumah yang siap dibina tidak diserahkan kepada Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS), sebaliknya ditawarkan terus kepada orang awam untuk proses pembelian.

“Dasar Rumah Selangorku mensyaratkan pembangunan rumah mampu milik untuk dibangunkan pemaju secara subsidi bersilang yang mana kos pembinaannya ditanggung 100 peratus pemaju.

“LPHS hanya bertindak sebagai agensi yang mengagihkan unit tersedia kepada mereka yang layak ditawarkan melalui sistem pendaftaran permohonan hartanah Selangor,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau mewakili EXCO Perumahan Rodziah Ismail menjawab pertanyaan wakil rakyat Bukit Lanjan Elizabeth Wong berhubung jumlah rumah mampu milik yang siap dibina dan diserah.

Sementara itu, Sze Han berkata sebanyak 30 peratus kuota daripada jumlah keseluruhan unit dibina di setiap projek diagih kepada penjawat awam yang berkhidmat di negeri ini.

Jelasnya, kuota pengagihan itu diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 4 Disember 2013.

“Penetapan kuota ini terpakai sekiranya kakitangan yang bekerja di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri merupakan kakitangan diiktiraf di bawah skim penjawat awam,” katanya lagi.

 


Pengarang :