Keadaan jalan raya yang ditenggelami banjir semasa tinjauan di Kampung Lubuk Panjang, Mukim Chalok, Setiu pada 3 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Amaran cuaca buruk, siap siaga hadapi banjir di Kelantan, Terengganu

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) hari ini menasihatkan pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah selain meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi hujan lebat berterusan yang dijangka berlaku melibatkan kawasan berisiko tinggi.

NDCC dalam kemas kini notis kesiapsiagaan operasi bencana juga memohon supaya pihak jawatankuasa itu memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), selain memastikan aset pengoperasian mencukupi dan sedia digunakan.

Terdahulu hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk tahap jingga dengan jangkaan hujan lebat berterusan melibatkan kesemua jajahan di Kelantan dan daerah di Terengganu sehingga esok.

Dalam kenyataan sama, amaran hujan berterusan tahap kuning atau waspada juga dikeluarkan untuk kawasan di Cameron Highlands, Jerantut, Kuantan dan Lipis (Pahang); Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar (Perak) dan kesemua daerah di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

— BERNAMA

 


Pengarang :