Tinjauan banjir di Taman Sri Muda pada 20 Disember 2021 sekitar jam 11:30 pagi pada 20 Disember 2021. Foto FADZA ISHAK
AGENDA NASIONAL

Banjir: Operasi menyelamat tumpu kawasan Sri Muda, 321 anggota digerakkan

SHAH ALAM, 20 DIS: Seramai 321 anggota termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), tentera dan agensi berkaitan digerakkan bagi memindahkan segera mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kawasan yang mempunyai kira-kira 4,400 rumah itu menjadi tumpuan utama pihak bomba dan penyelamat di negeri tersebut bagi kerja-kerja penyelamatan dan pemindahan mangsa banjir.

Tinjauan banjir di Taman Sri Muda pada 20 Disember 2021 sekitar jam 11:30 pagi pada 20 Disember 2021. Foto FADZA ISHAK

“Selain itu, aset yang ada di sini saya kira adalah aset-aset lengkap termasuk 41 bot penyelamat yang tidak termasuk bot dari badan bukan kerajaan.

“Kerja menyelamat agak sukar malah ada lagi rumah yang menghadapi fenomena air termenung namun usaha untuk menyalurkan bantuan makanan dan boleh dikatakan semuanya telah pun disalurkan,” katanya pada sidang media selepas meninjau pengoperasian Pusat Kawalan Operasi Bencana Bomba Seri Muda hari ini.

Reezal Merican berkata kawasan Taman Sri Muda merupakan kawasan yang sering dilanda banjir dan persediaan untuk memindahkan penduduk telah dibuat.

Semasa diminta mengesahkan sebuah bas telah diletakkan di kawasan berhampiran sebagai persediaan untuk memindahkan mangsa, beliau mengakuinya.

“Ya, namun ada yang berpindah, ada yang tidak mahu berpindah kerana takut akan jangkitan Covid-19. Ada mangsa yang enggan dipindahkan kerana menyangka air akan surut,” katanya.

Tinjauan banjir di Taman Sri Muda pada 20 Disember 2021 sekitar jam 11:30 pagi pada 20 Disember 2021. Foto FADZA ISHAK

Beliau berkata ada juga mangsa yang tidak mahu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara sebaliknya meminta bantuan makanan disalurkan dan pihak penyelamat akan terus membantu bagi memastikan tidak terputus bekalan makanan.

“Ada yang duduk atas bumbung, bila penyelamat datang mereka hanya mahukan makanan,” katanya.

Selain aset-aset di Selangor, pihak bomba akan mengerakkan asetnya di Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri yang tidak terjejas banjir ke negeri itu.

Sementara itu, beliau berkata tiga PPS telah dibuka untuk mangsa banjir di Taman Sri Muda dan tiga lagi PPS disediakan untuk menampung tambahan mangsa akan datang.

– BERNAMA


Pengarang :