AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Bantuan RM600 untuk keluarga fakir, bukan asnaf terjejas banjir

SHAH ALAM, 20 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan sumbangan RM600 kepada setiap ketua keluarga fakir miskin termasuk bukan asnaf yang terjejas akibat bencana banjir di Selangor melibatkan peruntukan zakat RM1 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Saipolyazan M. Yusop berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat ketua keluarga dengan kerjasama Jawatankuasa Bencana Daerah untuk menyelaras bantuan bagi meringankan beban mangsa terlibat.

Tambahnya sebanyak RM250,000 lagi diperuntuk bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah-daerah.

“Sumbangan tersebut menggunakan dana pengurusan operasi amil sebagai tanda keprihatinan amil zakat terhadap mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Saipolyazan LZS menyediakan 5,000 pek makanan bermasak sehari untuk diagihkan kepada semua PPS di bawah koordinasi pejabat daerah sepanjang tempoh lima hari.

“Semalam 5,000 pek pertama telah dihantar ke Pejabat Daerah Klang yang kemudiannya diagihkan ke PPS terlibat.

“Bagi mempercepatkan bantuan tambahan kepada mangsa banjir terjejas, sebanyak RM90,000 diperuntuk untuk Tabung Kecemasan Banjir LZS. Bantuan ini akan ditambah berdasarkan keperluan semasa,” katanya.

Dalam perkembangan sama Saipolyazan memaklumkan, LZS akan menyalurkan beberapa bentuk sumbangan pasca banjir bagi membantu mangsa banjir terutama dalam kalangan asnaf fakir dan miskin serta institusi.

“Bagi asnaf fakir dan miskin yang mengalami kerosakan rumah boleh menyalurkan maklumat kepada penolong amil kariah agar bantuan baik pulih dapat disalurkan mengikut keperluan bergantung kepada syarat dan kelayakan.

“LZS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan menyalurkan bantuan baik pulih seperti karpet, peralatan sistem audio dan sebagainya kepada masjid serta surau yang mengalami kerosakan akibat banjir,” katanya.

 

 


Pengarang :