Selangorkini
ADN Balakong Wong Siew Ki bercakap kepada media selepas menyerahkan kad SIM percuma di Pusat Khidmat Rakyat DUN Balakong di Taman Kasturi, Kajang pada 26 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kompleks rumah pekerja lindungi penduduk berdekatan kawasan kilang

SHAH ALAM, 2 DIS: Pembangunan kompleks perumahan pekerja di Selangor diyakini mampu menjamin keselamatan penduduk yang tinggal berdekatan kawasan industri dan kilang.

Wakil rakyat Balakong berkata inisiatif itu merungkai kebimbangan penduduk di lokasi titik panas terutama asrama pekerja asing yang banyak merekodkan kes Covid-19.

“Hal ini membimbangkan penduduk kerana sering berlaku insiden warga asing tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) akibat tidak fasih bahasa Melayu.

“Justeru, saya amat menyokong usaha Kerajaan Negeri membangunkan kompleks ini,” kata Wong Siew Ki ketika sesi perbahasan Belanjawan Selangor 202 pada sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Beliau turut berharap kompleks perumahan terbabit diurus dengan teliti dan berhati-hati selain diselia sepenuhnya oleh warga tempatan.

“Sebaliknya bukan jatuh atas tangan warga asing kerana dibimbangi kompleks ini menjadi satu kawasan di luar kawalan kita,” katanya lagi.

Belanjawan negeri yang dibentang Jumaat lalu memperuntuk RM5 juta bagi membina kompleks perumahan pekerja, yang dilaksanakan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kompleks terbabit bakal dilengkapi kemudahan seperti kedai dobi, restoran dan kedai runcit.


Pengarang :