Selangorkini
Orang ramai mendapatkan keperluan harian di sebuah pasar raya di Seksyen 9, Shah Alam susulan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh selama 14 hari ketika tinjauan pada 29 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP: Harga 12 jenis barang tunjuk trend penurunan

KOTA BHARU, 15 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati harga 12 jenis barangan yang dijual sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) menunjukkan trend penurunan setakat ini.

Timbalan Pengarah (Pencegahan) Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Aris Mamat berkata ini disebabkan bekalan kesemua barangan keperluan harian itu semakin banyak di pasaran selain harga bekalan lebih murah diterima peruncit.

“Sebelum ini, beberapa barangan mentah seperti ayam dijual pada harga agak tinggi namun ketika ini, kita dapati harganya sudah mula turun sehingga RM7.90 sekilogram walaupun kita telah tetapkan di bawah SHMKM harga ayam dijual pada RM9.30 sekilogram.

“Kita juga mendapati harga beberapa barangan lain seperti kubis dan kacang panjang telah turun di antara 15 hingga 30 peratus,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan SHMKM di Pasar Siti Khadijah hari ini.

Beliau berkata rata-rata peniaga didapati mematuhi sepenuhnya harga yang ditetapkan oleh SHMKM.

Aris juga berkata menerusi pelaksanaan SHMKM, sebanyak 11,474 premis termasuk 286 premis borong dan 11,188 premis runcit telah diperiksa dari 7 Dis hingga semalam.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu, pihaknya mengeluarkan 28 kompaun berjumlah RM7,900 terhadap peniaga yang melanggar peraturan SHMKM.

“Kesalahan yang dikesan ialah gagal menggunakan tanda harga khas (19 kes), tiada tanda harga (1) dan jual melebihi harga maksimum (8) dengan keseluruhan jumlah sitaan sebanyak RM1,980.48,” katanya.

Aris berkata KPDNHEP akan terus mempertingkat pemantuan harga barangan keperluan asas melalui pegawai pemantau di seluruh negara.

Beliau berkata KPDNHEP juga menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan berkaitan isu harga bagi memudahkan rakyat berbuat demikian.

“Mana-Mana peniaga yang melakukan kesalahan sepanjang tempoh SHMKM berlangsung hingga 31 Dis depan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :