Air Selangor membuat hebahan menyeru penduduk negeri ini memohon Skim Air Darul Ehsan bagi mendapatkan air percuma. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pergiat promosi skim air percuma, galak lebih ramai daftar

SHAH ALAM, 2 DIS: Promosi Skim Air Darul Ehsan dipergiat bagi menggalakkan orang ramai mendaftar dan mendapat manfaat air percuma, kata EXCO infrastruktur.

Ia berikutan hanya 46 peratus atau 287,181 penerima menikmati skim itu setakat 31 Oktober, berbanding sasaran 620,000 orang, jelas Ir Izham Hashim.

“Sebenarnya program untuk menggalakkan pendaftaran rakyat berjalan sepanjang tahun dan dilanjutkan tahun depan…tetapi kita pelik angka pendaftaran (hanya 287,181).

“Kita akan tingkatkan lagi promosi untuk galak lebih ramai mendaftar program ini,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung jumlah penerima skim tersebut.

Skim Air Darul Ehsan merupakan program penjajaran semula pemberian air percuma kepada kumpulan sasar untuk golongan berpendapatan isi rumah RM4,000 ke bawah.

Mereka yang layak boleh mendaftar melalui pautan https://ssipr-daftar.selangor.gov.my/register.


Pengarang :