Perkhidmatan tren komuter penumpang dari stesen Batu Tiga menuju ke stesen Pelabuhan Klang digantung sementara akibat banjir. Foto Facebook KTMB Berhad
AGENDANASIONAL

Perkhidmatan komuter dari Batu Tiga ke Pelabuhan Klang digantung sementara

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Semua perkhidmatan tren kargo Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Pelabuhan Klang akan digantung sementara sehingga paras air banjir di stesen Batu Tiga surut dan landasan di sektor Padang Jawa dan Shah Alam pulih.

Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha dalam kenyataan berkata selain itu tiada perkhidmatan tren komuter penumpang dari stesen Batu Tiga menuju ke stesen Pelabuhan Klang dan sebaliknya berikutan banjir dan tanah mendap di antara Padang Jawa dan Shah Alam.

“Bagi perkhidmatan KTM Komuter Pelabuhan Klang – Tanjung Malim – Pelabuhan Klang, tren dari KL Sentral menuju ke Pelabuhan Klang akan ditamatkan di stesen Subang Jaya dan berpatah balik ke KL Sentral,” katanya.

Penumpang yang terjejas boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh atau menukar tarikh perjalanan melalui e-wallet KITS atau di kaunter mengikut terma dan syarat.

Hujan lebat sejak semalam juga menyebabkan beberapa operasi perkhidmatan tren penumpang di sektor Pantai Timur dan Lembah Klang terjejas berikutan banjir.

Beliau berkata angin kuat telah menyebabkan pokok tumbang dan merosakkan alat talian atas, landasan juga ditenggelami air di beberapa tempat yang menyebabkan kelewatan serta pembatalan tren.

“KTMB terpaksa membatalkan beberapa perkhidmatan tren demi keselamatan penumpang. Justeru kami (KTMB) memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi,” kata Mohd Zain.

Sementara itu, semua perkhidmatan ETS beroperasi seperti biasa dan perkhidmatan KTM Intercity Ekspres Rakyat Timuran, perkhidmatan tren nombor 26 dan 27 laluan Kempas Baru akan beroperasi seperti biasa.

Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :