Selangorkini
Lelaki warga Australia, David Taylor yang menjadi sukarelawan Team Selangor membantu mangsa banjir. Foto Team Selangor
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lelaki warga Australia sertai Team Selangor bantu mangsa bah

SHAH ALAM, 2 JAN: Team Selangor menghargai kehadiran lelaki warga Australia, David Taylor yang menjadi sukarelawan semata-mata mahu membantu mangsa banjir.

Ketua Sekretariatnya Syahaizel Keman berkata walaupun berusia 65 tahun, faktor usia bukan halangan untuk David melakukan kerja sukarelawan bersama isterinya.

“Pada awalnya, isteri David mengikuti proses pembersihan di Padang Jawa. Kemudian keesokan harinya David mengikuti isterinya dan menyertai operasi pembersihan di Hulu Langat.

“Saya ada bertemu dengannya sekali di Hulu Langat dan beliau mengatakan memang berminat dengan kerja sukarelawan yang memerlukan tenaga yang banyak,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah Syahaizel, Team Selangor sangat menghargai masa dan tenaga yang diberikan sukarelawan sepanjang proses pembersihan di beberapa lokaliti terjejas.

“Tidak semua meminati kerja sukarelawan kerana ia memerlukan komitmen yang tinggi,”katanya.

Individu yang berminat menjadi sukarelawan Team Selangor boleh mendaftar di bit.ly/SkuadBencanaTeamSelangor atau sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-530 3578.

Pada 18 Disember lalu, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan termasuk Team Selangor bagi membantu proses menempatkan penduduk yang terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan awal kepada mangsa.


Pengarang :