Selangorkini
Aksi pemain MBSJ FC (kiri) ketika menentang First 11 FC pada peringkat suku akhir Liga Super Wanita FAS di Radia Arena Bukit Jelutong pada 10 Januari 2022. Foto FAS
AGENDA SELANGOR SUKANKINI

Pemain dikeluar masuk semula, MBSJ FC hilang kelayakan liga wanita

SHAH ALAM, 16 JAN: Pasukan bola sepak Majlis Bandaraya Subang Jaya FC (MBSJ FC) berputih mata untuk mara ke separuh akhir Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Ini susulan pasukan itu didapati bersalah memasukkan semula pemain yang dikeluarkan ketika menentang First 11 FC pada peringkat suku akhir Selasa lalu.

FAS menerusi Facebook memaklumkan MBSJ didapati bersalah selepas melanggar peraturan pertandingan iaitu Klausa 20: Peraturan Pertukaran Pemain Biasa di peringkat kalah mati.

Menurut persatuan itu, hukuman kekalahan “walkover” 0-3 telah dijatuhkan dan kelayakan ke pusingan separuh akhir dibatalkan.

Kemenangan diberikan kepada First 11 FC.

Selasa lalu, MBSJ FC berjaya ke separuh akhir Liga Super Wanita FAS selepas memenangi aksi suku akhir menewaskan First 11 FC 4-0 di Radia Arena Bukit Jelutong.

Kemenangan itu hasil jaringan Steffi Sargie pada minit ke-21 dan 49, manakala dua gol lagi melalui Farahiyah serta Fatin Shahida masing-masing minit ke-44 dan 72.


Pengarang :