=== Pengurus Besar Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) Nur Mohd Razali (kiri) menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir menerusi program Tautan Kasih Pascabanjir di Masjid Ar Rahman Sungai Lui, Hulu Langat pada 8 Januari 2022. Foto Facebook Yide
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Yide agih RM100,000 santuni mangsa bah di Selangor

SHAH ALAM, 10 JAN: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) memperuntuk sebanyak RM100,000 bagi membantu mangsa banjir negeri ini yang berdepan musibah pada 17 Disember tahun lalu.

Pengurus Besarnya Nur Mohd Razali berkata sumbangan tunai dan keperluan asas diagihkan kelmarin melalui program Tautan Kasih Pascabanjir di Masjid Ar Rahman Sungai Lui, Hulu Langat.

“Simpati dengan nasib anak yatim terjejas banjir, Yide bercadang memperuntuk dana tambahan RM200,000 bagi membiayai pembelian pakaian sekolah mereka,” katanya di Facebook.

Beliau juga berharap bantuan tersebut memberi sedikit kelegaan kepada mangsa banjir untuk memulakan kehidupan baharu pascabencana tahun ini.

Pada program sama, Yide turut menziarahi beberapa kediaman yang terjejas bersama Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Saipolyazan M Yusop.


Pengarang :